Malaysia Dateline

PRK Slim: ‘Tukar nasi lemak kepada Musang King’

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengibaratkan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai pokok durian Musang King yang mesti menjadi pilihan pengundi pada 29 Ogos ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan tersebut berkata, pengundi mengubah selera selepas puluhan tahun memilih lambang dacing iaitu BN yang diumpamakannya sebagai nasi lemak.

Amir bertanding menggunakan lambang pokok dengan namanya tersenarai pada nombor satu di atas kertas undi.

“Calon pokok nombor 1 Khusyairi ini pokok Musang King. Jangan main-main. Durian paling mahal sekali.

“60 tahun makan nasi lemak, tak muakkah? Sudah sampai masa kita tukarlah citarasa.

“Takkanlah hari-hari makan nasi lemak sampai 60 tahun tidak tukar citarasa. Kali ini 29 Ogos marilah kita tukar citarasa dari nasi lemak kepada musang king, calon nombor satu,” serunya.

Kor Ming yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata demikian pada Ceramah Perdana sempena kempen PRK DUN Slim malam ini.

Beliau mengingatkan PRK kali ini adalah penting sebagai permulaan gelombang rakyat untuk mengembalikan mandat rakyat dan demokrasi negara ini.

“Sekarang kalau kita keluar negara, kita segan sebab kerajaan yang ada sekarang pintu belakang tapi Umno beri alasan pintu istana.

“Tambah dia kata kerajaan tebuk atap. Siapa biasa buat perkara ini? Biasanya pencuri yang buat kerja macam ini,” tempelaknya.

Tegasnya, perubahan berlaku kerana rakyat berani seperti dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun 2018 lalu.

“Rakyat sudah berani buktikan kepada seluruh dunia kerajaan itu bukan abadi.

“Kerajaan itu boleh ditukar ikut citarasa rakyat. Kerajaan yang baik kita sokong. Kerajaan yang zalim dan rasuah kita buang ke Laut China Selatan,” tegas Kor Ming lagi.