Malaysia Dateline

PRK Slim: Uji keutuhan PH Plus, wajar tampil calon muda

Pilihan Raya Kecil Dun Slim yang bakal diadakan nanti dilihat sebagai medan bagi menguji keutuhan Pakatan Harapan Plus yang dianggotai AMANAH, DAP, KEADILAN, Warisan dan kumpulan Bersatu Berprinsip.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin rakyat telah menyaksikan perpecahan dalam kalangan pembangkang ekoran perbezaan pendapat dalam banyak perkara.

Hal ini sekaligus katanya, telah menggagalkan usaha pembangkang mendapatkan cukup bilang bagi mengambilalih semula kerajaan setakat ini.

Justeru dalam PRK DUN Slim, katanya, kesatuan pembangkang PH Plus bakal teruji dan rakyat khususnya anak muda akan menilai sejauh mana keutuhan gabungan PH Plus

“Termasuklah dalam menentukan parti mana yang bertanding dan calon yang akan dilagangkan,” katanya yang turut membincangkan mengenai PRK Slim di mesyuarat Pengurusan Pemuda AMANAh Nasional hari ini.

Justeru, Pemuda AMANAH juga menyarankan agar calon dalam kalangan anak muda diberi peluang oleh PH Plus untuk bertanding kali ini.

“Mencalonkan anak muda dalam PRK DUN Slim akan memberikan gambaran PH Plus terus melangkah kehadapan meninggalkan gagasan politik konservatif,” katanya.

N. 58 Slim diisytihar kosong luar jangka oleh Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada 17 Julai lalu ekoran penyandang kerusi itu Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, pada jam 4.15 petang, Rabu lalu kerana serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.

Mohd Khusairi dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004 lalu.

Pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting PRK DUN Slim.