Pas tidak perlu serang BN di Sungai Besar, kata ulama Pas

Pas tidak perlu serang BN di Sungai Besar, kata ulama Pas

Pas  perlu  menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa parti Islam itu akan berjuang untuk membawa keadilan kepada semua lapisan masyarakat berbanding mengunakan teknik menyerang Umno-BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar kerana ia tidak mampu menarik pengundi Melayu menyokong parti Islam itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, berkata, rakyat sedia maklum Umno-BN sedang dibelenggu pelbagai kemelut sehingga tidak lagi diyakini rakyat.

“Kempen perlu dilakukan secara berhemah dengan menampilkan mesej Pas sebagai parti Islam yang memperjuangkan keadilan untuk semua. Jangan gunakan gaya menyerang Umno-BN kerana ia tidak banyak membantu menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Semua sudah maklum keadaan dan imej Umno-BN yang sedang merudum di mata masyarakat yang penting bagi calon Pas dan petugas menampilkan akhlak terbaik bagi memenangi hati-hati pengundi,” katanya dipetik FMT.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, Pas juga perlu menurunkan calon yang mempunyai latar belakang akademik yang baik bagi menarik sokongan pengundi.

Kerusi Sungai Besar kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak Khamis lalu.

Tarikh hari penamaan dan hari pengundian PRK Sungai Besar dijangka diumum Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini.

TAGS

COMMENTS