PRK Sungai Kandis: 5 program pemberdayaan wanita janji Mohd Zawawi jika dapat mandat

PRK Sungai Kandis: 5 program pemberdayaan wanita janji Mohd Zawawi jika dapat mandat

Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini menggariskan lima program pemberdayaan golongan wanita yang akan beliau laksanakan sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat pada 4 Ogos ini.

Beliau berkata program pertama adalah pemberdayaan pendidikan secara holistik yang memberikan pendedahan mengenai program pendidikan keibubapaan sejak dari peringkat awal sementara program kedua adalah pemberdayaan kesihatan.

“Menerusi program kedua ini, kita akan teruskan tradisi peduli sihat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti pemeriksaan momogram dan kad peduli sihat. Program ketiga pula ialah pemberdayaan keselamatan yang memberi fokus terhadap isu keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, di mana saya juga bakal tubuhkan pusat aduan serta pusat transit untuk kanak-kanak.

“Manakala program keempat dan kelima adalah pemberdayaan ekonomi serta pemberdayaan kebajikan yang memberi keutamaan untuk memperkasakan ekonomi kaum wanita dengan program seperti trak makanan dan kemudahan dana usahawan,” katanya dalam sidang akhbar hari kelima kempen hari ini seperti dipetik Bernama.

Pada PRK itu Mohd Zawawi bakal ditentang calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

Jelas pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu, usaha membantu golongan wanita, terutama mereka yang bermasalah perlu dilakukan secara serius dan menyeluruh.

“Saya tidak tergamak melihat masih ada lagi segelintir pihak menganggap mereka (wanita) sebagai golongan kelas kedua dalam masyarakat kita, maruah mereka seharusnya dijulang dan khidmat mereka pula harus dihargai.

“Oleh itu, sebagai seorang kaunselor bertauliah juga, saya berazam manfaatkan kepakaran yang saya miliki dalam bidang motivasi dan pembangunan keluarga untuk membantu golongan wanita, terutama yang berdepan masalah hidup serta konflik kekeluargaan di kawasan ini dengan pelaksanaan lima program tersebut,” katanya.

PRK Dun Sungai Kandis yang merupakan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum itu, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi Dun Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh majoriti undi 12,480 menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

COMMENTS

Wordpress (0)