PRK Sungai Kandis bukti kematangan rakyat buat penilaian, hargai kerajaan PH

PRK Sungai Kandis bukti kematangan rakyat buat penilaian, hargai kerajaan PH

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) menunjukkan rakyat tidak lagi boleh ditipu dengan permainan politik rasis yang kini dimainkan pembangkang.

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata di sebalik permainan persepsi mencerca kerajaan PH yang kononnya tiada usaha menunaikan janji manifesto, rakyat membuat penilaian rasional menghargai usaha kerajaan baru.

“Saya yakin rakyat dapat melihat dengan jelas usaha bertungkus lumus dibuat oleh kerajaan baru untuk membetulkan tinggalan kerajaan dulu yang penuh kerosakan,” kataya kepada Malaysia Dateline ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua pimpinan kerajaan baru didahului Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad nyata bekerja keras tanpa meluangkan masa agar negara dan rakyat dapat menikmati semula segala kemudahan dan pembelaan yang menjadi hak mereka.

“Tidak perlu ke hulu ke hilir membina persepsi kononnya kerajaan baru langsung tidak berusaha untuk tunaikan janji dan semua hanya bohong.

“Rakyat telah lihat dengan mata kepala mereka janji kita untuk bongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan dulu sedang dibongkar dan pelbagai pembetulan sedang dibuat supaya keadilan ekonomi dan sosial di negara ini kembali ke landasan asal,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam berkata, rakyat Sungai Kandis telah memberi jawapan kepada tohmahan-tohmahan jahat yang tidak berasas ini.

“Kita yakin rakyat Belakong dan Seri Setia akan memberi jawapan serupa kepada pemfitnah-pemfintah yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Calon Umno-BN yang disokong Pas tewas pada PRK Sungai Kandis dengan 5,842 undi. Beliau hanya memperoleh 9,585 undi berbanding 15,427 oleh calon PH.

Umno dan Pas masing-masing mendakwa jumlah peratusan keluar mengundi pada 49.4 peratus kerana pengundi kecewa dengan PH.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote