PRK Sungai Kandis: Elemen calon hanya sebahagian faktor kemenangan, kata MB Selangor

PRK Sungai Kandis: Elemen calon hanya sebahagian faktor kemenangan, kata MB Selangor

Elemen pemilihan calon sama ada tempatan atau calon luar kawasan untuk bertanding pada mana-mana pilihan raya hanyalah sebahagian daripada faktor kemenangan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sebaliknya, beliau berkata kesiapsiagaan jentera pilihan raya meliputi seluruh akar umbi serta atur gerak urusan parti dilihat lebih penting untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Oleh itu, katanya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis, pihaknya akan lebih menumpukan kepada atur gerak jentera menerusi pelbagai aktiviti menyantuni pengundi.

Bagaimanapun, beliau berkata faktor-faktor untuk mengetengahkan calon tempatan tetap akan dinilai dan keputusan mengenainya akan dibuat kepimpinan parti peringkat pusat.

“PRK adalah pilihan raya nasional, kita sudah kemukakan beberapa pandangan dan diharap ia dapat diambil kira. Di pihak saya, kita sedang menumpukan bagaimana nak gerakkan jentera supaya jentera dapat siap siaga,” katanya kepadamedia di Kelang malam ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan insentif haji muassasah berjumlah RM500 setiap seorang kepada 78 jemaah Dun Sungai Kandis yang bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu bulan depan.

Ditanya sama ada PKR tetap akan mengekalkan kuota kerusi DunSungai Kandis kepada calon lelaki, Amirudin berkata faktor jantina bukan isu utama kerana parti akan memilih calon berdasarkan kepada keadaan pengundi dan jentera yang boleh membawa kemenangan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon 21 Julai ini.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote