PRK Sungai Kandis: Kempen calon PKR, BN bakal sengit sentuh isu sama orang Melayu

PRK Sungai Kandis:  Kempen calon PKR, BN bakal sengit sentuh isu sama orang Melayu

Perang kempen  akan dilihat sengit antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon BN Datuk Lokman Nor Adam berbanding calon Bebas K. Murty  dalam kempen selama 13 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Ini kerana dua calon yang ditemui ini ketika ditanya Malaysia Dateline masing-masing, menyatakan pendirian untuk mengangkat isu agama Islam, bangsa Melayu, Raja-raja dan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahankan dan menjadi antara agenda utama dalam kempen PRK kali ini.

Mohd Zawawi yang dipanggil ‘Ustaz’ dikalangan media hari ini, menyatakan pendiriannya untuk terus mengekalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Walaupun beliau memaklumi akan agenda kempen yang akan dimainkan oleh calon parti lawannya Lokman Adam yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu mengenai hak-hak orang Melayu yang kerap dicanangkan BN kononnya semakin tergugat sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan pada 10 Mei lalu, dilihat terpaksa mengikut rentak gendang dipalu BN itu.

“Saya ada pendekatan sendiri untuk mendekati kepelbagaian kaum dan agama.

“Kita (PH) juga ada pendekatan sendiri untuk jelaskan isu raja-raja Melayu kerana ia sangat sensitif kepada orang Melayu jika kita tahu bagaimana memberikan penjelasan mereka akan dapat menerimanya.

“Pendirian saya berpegang kepada Perlembangan Negara yang mengekalkan dan menghormati raja-raja dan kepentingan orang Melayu.Ini jelas bukan mudah untuk mengubahnya kita menyokong perlembagana negara,” ujarnya ketika ditanya tentang kempen yang akan dimainkan oleh pembangkang dalam PRK Sungai Kadis bagi meraih sokongan majoriti pengundi Melayu di kali ini.

Melihat kepada Dun Sungai Kandis, Mohd Zawawi berkata, cabaran yang besar akan beliau hadapi kelak jika diberi mandat  untuk memastikan infrastruktur yang lebih baik dan masalah banjir akan dapat diatasinya.

Beberapa kepimpinan  tertinggi Pakatan Harapan turut mengiringi calon PKR Mohd Zawawi Mohd Mughni (dua dari kiri) untuk penamaan calon bagi PRK Sungai Kadis .

Tidak mahu tomato saja yang murah

Bagi Lokman  Adam, kempennya tetap memperjuangkan agenda sama untuk kepentingan orang Melayu dan Raja-raja Melayu dalam kempennya kelak.

“Mereka (PH)  tidak boleh memperlekeh bangsa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, hina raja-raja Melayu jadi saya pulangkan kepada kebijaksanaan pengundi .Ini perjuangan orang Melayu (Umno),” ujarnya.

Selain mahu bercakap mengenai kos sara hidup rakyat dan janji-janji dalam manifesto PRU14 kerajaan PH dakwanya masih tidak menunaikan janji walaupun dalam tempoh 100 hari seperti dirancangkan sebelum memegang kuasa.

Beliau bercakap sambil mengenggam sebiji tomato sebagai simbol keperitan rakyat selepas ditemui di luar kawasan Dewan Tanjung MBSA hari ini, yang turut dikerumuni penyokong-penyokongnya.

Beliau memberikan gambaran betapa rakyat mahukan penurunan harga barang di pasaran. Ini perkara utama ujarnya, yang gagal ditangani kerajaan PH walaupun akan memansuhkan GST dan mengantikannya dengan SST pada 1 September depan.

“Kita nak bagi isyarat yang jelas kepada pengundi dan  kerajaan Pakatan Harapan. Kita tidak mahu tomato sahaja yang murah dipasar kerana bukan semua orang makan tomato. Ada yang makan brokoli, kailan, ikan masin, ikan bawal dan macam-macam lagi. Kita mahu harga minyak turun RM1.50, hapuskan tol dan PTPTN seperti mana dijanjikan PH,” ujarnya.

Bahkan beliau menyedari cabaran utama bakal ditempuhinya adalah kesukaran untuk menang di  Dun Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu begitu yakin BN tidak boleh menang  PRK tetapi mampu mengurangkan majoriti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang memihak kepada calon PH.

“Cabaran utama saya bertanding di lokasi yang mana Pakatan Harapan mendapat majoriti. Jika undi BN dicampur Pas pada PRU14 lalu, saya tetap kalah.

“Tapi saya yakin berkat perjuangan yang benar tidak ada apa yang mustahil walaupun peluang menang sukar. Setidak-tidaknya jika kita (BN) dapat kurangkan majoriti mereka (PH) dengan jumlah yang banyak saya yakin ini isyarat  jika mereka gagal tunaikan janji dan boleh buat janji sesuka hati  maka rakyat akan berpaling untuk sokong pembangkang kelak,” ujarnya.

Pada PRU14 yang diadakan  9 Mei lalu, penyandang Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie, yang mewakili PKR, mempertahankan kerusi Dun Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi untuk mengalahkan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon Pas Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon PRM Hanafiah Husin (76).

Datuk Lokman Adam (tiga dari kiri) bersama dengan barian kepimpinan Umno yang hadir pada hari penamaan calon PRK Sungai Kandis pagi inii.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote