Malaysia Dateline

PRK Sungai Kandis: Keputusan pengundi tidak berubah, Umno-Pas perlu berunding, kata penganalisis

 

Azmi Hassan

Hanya pertandingan satu lawan satu perlu ditawarkan oleh Umno atau Pas untuk menentang PKR bagi membuktikan sejauh mana sokongan pengundi terhadap pembangkang di Selangor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos depan.

Pakar Geostrategis Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata, dalam senario terkini Pakatan Harapan menguasai Selangor dan Kerajaan Persekutuan, PRK Sungai Kandis tidak akan mengubah keputusan pengundi.

Beliau menegaskan amat perlu Umno dan Pas untuk berunding bagi menentukan calon parti yang akan menentang calon PKR kelak bukan memikirkan faktor akan kalah atau menang.

“Jika ditinjau keputusan PRU14 gabungan undi Umno dan Pas masih tidak mampu tewaskan PKR tetapi dalam hal ini tidak penting faktor kalah atau menang tetapi PRK boleh dijadikan ukuran mudah penerimaan pengundi dalam senario politik Umno dan Pas sebagai pembangkang.

“Ini kerana sukar untuk pembangkang menang walaupun dalam suasana satu lawan satu.

“Pertama kerana majoriti kemenangan calon PKR dalam PRU14 melebihi undi yg diperolehi Umno dan Pas. Kedua kerana Pakatan Harapan menguasai Kerajaan Negeri dan Persekutuan maka sukar pembangkang tewaskan kerajaan memerintah,” ujarnya kepada Malaysia¬†Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis, dipetik berkata, BN akan berbincang dengan Pas bagi memilih hanya seorang calon pembangkang pada PRK Sungai Kandis kerana ia bagi membolehkan hanya calon yang berpotensi untuk menang diletakkan sebagai calon mewakili pembangkang pada PRK itu.

Manakala Pas pada Jumaat, menerusi kenyataan balas dibuat Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan dipetik berkata, parti itu bersedia berbincang dengan Umno berhubung cadangan mengemukakan hanya seorang calon pembangkang pada PRK Sungai Kandis.

Ditanya mengenai cadangan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, agar Umno bertanding PRK Sungai Kandis atas nama parti itu bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat dalam senario politik semasa.

Cadangan itu disambut oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Ahmad Nadzari Dahlan yang dilaporkan sebagai berkata, Umno Selangor kemungkinan akan menggunakan logo parti, bukan BN pada PRK Sungai Kandis.

Azmi berpandangan sekiranya Umno memilih untuk bertanding atas tiket parti itu, ia hanya strategi semata-mata ekoran BN kini hanya dianggotai 3 parti sahaja (Umno,MIC dan MCA) ujarnya lagi, seolah-olah BN itu tidak wujud selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sudah tentu ia memberi kesan kepada sokongan pengundi.

“Dalam situasi hari ini¬† apa jua keputusan tidak akan mengubah senario Dun di Selangor.

“Tetapi kesan kepada Umno sertai PRK Sungai Kandis ini boleh memberi berbagai interpretasi terhadap Umno yang kini mempunyai barisan kepimpinan baharu.

“PRK Sungai Kandis adalah permulaan yang baik dan amat penting bagi pengundi memberi isyarat senario politik yang mereka mahukan,” ujarnya.