PRK Sungai Kandis: Kit Siang seru pengundi Pas, Umno sokong PKR

PRK Sungai Kandis: Kit Siang seru pengundi Pas, Umno sokong PKR

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang menyeru semua pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis termasuk daripada parti Pas dan Umno untuk memberikan sokongan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Sabtu ini.

Beliau berkata walaupun kemenangan atau kekalahan kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis tidak mengubah kerajaan sedia ada, namun sekiranya ia kekal disandang PKR, ia akan memperkuatkan lagi usaha Pakatan Harapan (PH) ‘membersihkan’ sistem pentadbiran daripada rasuah.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, mereka (pengundi Umno) tidak mempercayai tentang skandal 1Malaysia Development Berhad itu benar tapi sekarang, kita ingat skandal itu tidaklah seteruk mana, rupanya ia lebih buruk daripada apa yang disangkakan.

“Dengan pembongkaran (skandal itu), ia sekurang-kurangnya dapat membuka mata pihak sebelah sana untuk memberi sokongan kepada calon PKR ini,” katanya kepada pemberita selepas ceramah membantu kempen Mohd Zawawi di sebuah restoran Ruby,Bukit Kemuning, semalam, dipetik Bernama.

Lim berkata DAP sentiasa memberi sokongan penuh kepada Mohd Zawawi untuk menang dalam PRK tersebut dengan majoriti besar dan jika tercapai, ia memberi isyarat jelas kepada UMNO bahawa rakyat masih percaya dan yakin dengan pimpinan daripada PH untuk memberi perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Pada hari pengundian Sabtu ini, Mohd Zawawi berdepan calon Barisan Nasional Datuk Lokman Noor Adam serta calon Bebas, K. Murthy dan PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

CATEGORIES
TAGS