PRK Sungai Kandis: Medan terbaik zahirkan perubahan pilihan raya, kata Pemuda AMANAH

PRK Sungai Kandis: Medan terbaik zahirkan perubahan pilihan raya, kata Pemuda AMANAH

Mohd Sany Hamzan

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis adalah medan terpenting bagi Pakatan Harapan (PH) untuk membuktikan komitmen kerajaan baharu untuk mereformasi sistem dan perjalanan pilihan raya.

Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan berkata, PRK Sungai Kandis sebagai isyarat awal kerajaan terhadap kesungguhan mempertingkat kualiti proses pilihan raya berbanding suasana semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
yang berlangsung dengan penuh kepincangan dan kekurangan daripada pelbagai aspek.

“Ini termasuklah ketidakadilan media arus perdana, penyalahgunaan aset kerajaan dan sebagainya yang mana BN memperoleh manfaat besar daripadanya.

“Bagi kami, tindakan tersebut merupakan satu pencabulan terhadap sistem demokrasi yang mana pemerintah tidak sewajarnya memperoleh kelebihan tertentu di dalam perjalanan pilihan raya.

“Lebih mengecewakan, penyalahgunaan kuasa seperti ini ‘dihalalkan’ biarpun mendapat tentangan daripada parti pembangkang pada waktu itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer berkata, penyalahgunaan agensi kerajaan termasuklah kakitangannya, peralatan dan aset jabatan dan sebagainya tidak berlaku kerana ia sangat menyimpang daripada semangat demokrasi yang sebenar.

“Kami juga berharap agar kerajaan memberi ruang sepenuhnya kepada semua parti untuk menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, balai raya dan seumpamanya untuk menjalankan aktiviti kempen sepanjang proses berkempen.

“Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memaparkan suasana baharu dalam media arus perdana negara yang melaporkan secara bebas isu-isu melibatkan kerajaan mahupun pembangkang tanpa sebarang sekatan dan halangan dilakukan.

“Pemuda AMANAH Nasional berharap kebebasan media ini akan lebih disuburkan khususnya dalam tempoh kempen pilihan raya,” ujarnya.

Pemuda AMANAH Nasional ujarnya lagi, meletakkan keyakinan bahawa satu suasana baharu akan dapat dilihat di dalam PRK Sungai Kandis yang mana demokrasi akan berlangsung dengan lebih subur.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote