Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai 16 November depan

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, adalah pada 16 November depan bersamaan hari Sabtu.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, untuk PRK kali ini, pihaknya juga telah menetapkan hari penamaan calon iaitu pada 2 November depan (Sabtu).

“Bagi hari mengundi awal pula, tarikhnya adalah pada 12 November depan bersamaan hari Selasa.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada Selasa 1 Oktober (tarikh buka) dan Khamis 31 Oktober (tarikh tutup).

“Seramai 1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK kali ini, manakala sebanyak 28 pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 127 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPR, di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pihaknya akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam, 15 November tahun ini.

“Borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 Oktober ini di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor atau di ibu pejabat SPR di Putrajaya,” katanya lagi.

PRK Tanjung Piai akan diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU-14 dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.