Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Anak muda harap tapak futsal dan pusat gimnasium dibangunkan

Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kesembilan 16 November ini, golongan muda di Parlimen Tanjung Piai mengharapkan bakal ahli parlimennya menyediakan kemudahan untuk bersukan seperti tapak futsal dan pusat gimnasium.

Tinjauan Malaysia Dateline di sekitar kawasan parlimen itu mendapati, penambahbaikan kemudahan infrastruktur antara hasrat utama penduduk yang mendiami negeri paling selatan di negara ini.

Faris Sahak

Muhamad Faris Sahak, 25, ketika ditemui berkata, sebagai golongan muda, beliau mengharapkan pihak kerajaan (ahli parlimen) dapat menyediakan tapak futsal dan pusat gimnasium untuk beriadah.

“Kalau tempat futsal dan pusat gimnasium dapat ditambahkan lagi di kawasan sini, dapatlah kami bersukan dan mengeluarkan peluh.

“Apabila ada banyak tempat futsal dan pusat gimnasium, maka kami boleh mengamalkan cara hidup sihat.

“Selain memenuhi hasrat anak muda, golongan orang kurang upaya (OKU) juga tidak dilupakan. Saya mencadangkan supaya kemudahan mesra golongan itu dipertingkatkan dengan menambahkan Laluan Khas Kuning Berkesan (Tactile Paving) bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline, baru-baru ini.

Ditanya mengenai saingan enam penjuru di kawasan parlimennya, anak muda berusia 25 tahun itu menjangkakan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Bersatu, Karmaine Sardini akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik untuk mentadbir parlimen berkenaan.

“Saya lihat persaingan kali ini memang sengit. Setiap parti ada kekuatan masing-masing dan saya menjangkakan PH akan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Mohd Hatta Marzuki

“Mengimbau kenangan sewaktu Allahyarham Dr Farid menjadi ahli parlimen, beliau seorang yang sangat baik. Beliau sering turun padang berjumpa masyarakat dan menyelesaikan masalah seperti jalan berlubang,” katanya yang menetap di Taman Rambah, Pontian.

Seorang lagi anak tempatan, Mohd Hatta Marzuki, 54, pula mengharapkan bakal ahli parlimen yang baharu itu nanti, akan membaik pulih struktur jalan raya.

“Di Pontian ini, pembangunan memang agak sedikit ke belakang jika dibandingkan dengan beberapa daerah lain seperti di Muar dan Batu Pahat.

“Jadi, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, saya mengharapkan kerajaan akan dapat menyediakan jalan raya yang lebih baik dan kemudahan-kemudahan untuk orang awam,” katanya.

Ditanya mengenai calon-calon yang bertanding pula, anak kelahiran Ayer Baloi, Pontian itu menyifatkan calon PH (Karmaine) seorang yang mudah didekati dan rajin datang ke masjid.

“Mengenai calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pula, beliau juga mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Jadi, saya lihat persaingan kali ini agak sukar kepada semua calon tetapi ianya (persaingan) seimbang. Jika satu lawan satu, ianya mudah dan kalau calon itu memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, mungkin majoritinya sedikit,” katanya lagi.

PRK Tanjung Piai akan menyaksikan pertembungan 6 penjuru membabitkan calon PH Karmaine Sarbini; Wee Jeck Seng (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz  (Berjasa);S. Wendy Subramaniam (Gerakan) dna dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghafar.

PRK ini diadakan sdiadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.