PRK Tanjung Piai: Antara maruah Melayu dan penyatuan ummah?

 

Tanjong Piai, kematian Ahli Parlimen, Datuk Dr Md Farid Md Rafi yang juga Naib Pengerusi Bersatu di kala Umno-Pas  baru mengadakan pertemuan dalam persefahaman Penyatuan Ummah  adalah cabaran dan medan ujian sejauh manakah undi Melayu akan berpihak kepada Umno-Pas walaupun calon yang bertanding pada pilihan raya lepas bagi BN adalah dari MCA.

Adakah Umno akan mendesak MCA supaya mengggugurkan calon mereka dan digantikan dengan calon Umno yang sudah tentu tidak sabar hendak bertarung dengan calon dari Bersatu untuk membuktikan yang parti nasionalis Melayu pembangkang ini masih relevan kepada orang Melayu dan Bersatu akan “bungkus” sebagai parti wadah baharu bagi orang Melayu. Namun sehingga rencan ini ditulis MCA telah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya ini.

Pengundi di P165 Tanjung Piai terdiri daripada Melayu sebanyak 56.7 peratus, Cina 41.6 peratus, India 1 peratus dan lain- lain 0.7 peratus.

Pengiraan secara ilmu hisabnya , jika jumlah undi MCA (BN) adalah berjumlah 20,731 dicampur undi PAS sebanyak 2,962 (calon Berjasa) pada PRU14, undi mereka (BN + PAS) perolehi melebihi undi PKR (PH) 21,255. Ini adalah kemenangan di atas kertas.

Pada PRU14, PH hanya menang dengan majoriti tipis 524 undi. Majoriti tipis ini tentulahnya menggusarkan Bersatu dan PH.

Pasca Himpunan Penyatuan Ummah dengan Kempen Vote Muslim First, atas desakan mahukan calon Muslim Berwibawa merupakan faktor yang tidak boleh dipandang enteng oleh PH dalam mendepani PRK P165 Tanjung Piai, Johor.

Dalam hubungan ini di manakah maruah Melayu di Tanjung Piai?  Bekerja keras, berusaha untuk menang tetapi harus bekerja sama dengan mereka yang bukan Melayu dalam PH.

Dalam Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah bangsa itu sendiri, namun ia bergantung kepada kesediaan mereka untuk bekerja keras dan mengambil segala peluang diberikan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, ia tidak boleh memulihkan maruah bangsa itu sekiranya mereka sendiri tidak mahu berusaha mengubah nasib.

Adakah PRK Tanjung Piai akan menjadi eksperimen kepada maruah Melayu? Bagi Pas-Umno, terutamanya Umno mahukan calon dari partinya yang bertanding, jika tidak semua isu Melayu-Islam yang hendak dikempen mereka akan berkecai. Sekiranya MCA bertegas ingin bertanding , strategi untuk menang akan menjadi masalah kerana mereka perlu berkempen atas dasar Muafakat Nasional pula. Ini akan hilang bak debu yang berterbangan, PH ada peluang untuk menang. Adalah ini  akan menimbulkan keretakan dalam hubungan wadah Muafakat Nasional?

Jika calon Umno bertanding, mereka (Umno-Pas) mempunyai harapan yang tinggi untuk menang. Jika tidak kempen mereka harus berkisar di sekitar Muafakat Nasional. Kempen akan berkisar di sekitar isu semasa dan isu tempatan.

Apa yang sangat dipentingkan dalam PRK Tanjung Piai ini ialah mengembalikan maruah Melayu yang sudah tercemar teruk atau Penyatuan Ummah atas dasar menyelamatkan siasah Melayu dan agama Islam di negara ini yang didakwa haknya orang Melayu yang semakin terhakis dan agama Islam semakin diasak oleh rakyat bukan Islam umpamanya seperti membaca doa dalam Injil di sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Jika dalam Kongres Maruah Melayu, para pemimpin pembangkang Melayu mengangkat tangan sambil memegang tangan Perdana Menteri yang menunjukkan maruah Melayu harus ditebus dan dikembalikan. Dalam PRK Tanjung Piai agenda Maruah Melayu  akan berhadapan dengan agenda Penyatuan Ummah?  Apakah pula maknanya gambar ini sebenarnya?

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)