Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Bagaimana Pas lelong kalimah “haram”?

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan Pas melelong murah kalimah “haram” sama ada haram dari sudut undang-undang atau hukum syarak.

Menurutnya yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis, proses indoktrinasi “tahrim” tersebut berjalan begitu lama dalam Pas.

“Semasa Pas lawan Umno, “haram” sokong dan undi Umno kerana Umno tolak hudud dan lawan Islam. Juga kerana Umno bekerjasama dengan orang kafir dalam MIC dan MCA.

“Dalam persaingan dengan jamaah Islam yang lain, Pas satu-satunya jamaah Islam. Jamaah lain yang wujud serentak dengan Pas bukan jamaah Islam dan “haram” disertai termasuk jemaah Tabligh,” bidasnya.

Jelas Ustaz Zolkharnain, apabila berlaku krisis dalam Pas dan wujud perselisihan dalaman parti, Pas menyatakan “haram” menentang kepimpinan ulama dan penentang ulama sudah ‘didoalaknatkan’.

Menurutnya, ‘hukum’ yang sama juga dijatuhkan oleh Pas kepada AMANAH apabila parti tersebut ditubuhkan.

“Apabila AMANAH ditubuhkan “haram” sertai AMANAH kerana khianat kepada Pas (kononnya), padahal pengkhianatan Pas kepada persefahaman politik dalam PR tidak pernah Pas akuri.

“Kini, selepas Pas kahwin Umno, tak sampai dua bulan bunting pelamin, Pas desak kerajaan “haramkan” parti DAP pula, padahal DAP adalah parti dalam kerajaan yang sah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain menyoal bagaimana Pas akan melelong kalimah “haram” bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan Wee Jeck Seng dari MCA menjadi calon BN melawan calon Muslim dari Pakatan Harapan (PH).

“Di Tanjung Piai, entah macam mana pula Pas nak lelong kalimah “haram” apabila PH letak calon Muslim selepas fatwa “haram” undi calon bukan Muslim dipromosi olehnya.

“Di tangan Pas, agama dilelong sekupang dua saja,” bidasnya yang juga Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Dalam PRK Cameron Highlands awal tahun ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengundi beragama Islam wajib menyokong “calon yang ada sifat keagamaan”.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berharap supaya pengundi bukan Islam tidak memilih calon DAP yang dakwanya menunjukkan tanda-tanda yang negatif terhadap Islam.

PRK P.078 Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Ramli Md Nor dari BN;
calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.