Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Cabaran sengit, AMANAH fokus di DUN Kukup

AMANAH memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang mengandungi majoriti pengundi Melayu khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup sepanjang kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kayat yang juga Speaker Dewan negeri berkata, gerak kerja AMANAH akan memfokuskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang merupakan kubu kuat BN pada PRU-14 lalu.

“PH ada potensi cerah di Tanjung Piai tetapi kita berdepan dengan cabaran sengit untuk menang.

“Walau bagaimanapun, AMANAH sedia bekerja kuat khususnya di kawasan Dun Kukup, tempat tumpuan persaingan BN-PH,” ujar bekas calon Dun Kukup pada PRU-14 ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.

Suhaizan berkata, kerja kuat AMANAH bagi mempertahankan kerusi P165 itu turut disokong sistem negeri angkat dan bahagian angkat.

“Sokongan pengundi Melayu kepada PH mesti lebih 32 peratus untuk kita menang pada 16 November nanti,” ujarnya lagi.

PRK Tanjung Piai ialah PRK yang kesembilan, selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018. PRK sebelum ini di DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau, manakala PRK bagi kawasan Parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.

Pada PRU-14, Allahyarham Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai mendapat 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas). Wee memungut 20,731 undi, manakala Nordin, 2,962 undi.