Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Calon PH mempunyai ‘kelebihan’ kerana berada dalam parti kerajaan

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dilihat mempunyai ‘kelebihan’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kali ini kerana berada dalam kelompok parti kerajaan yang mentadbir negara.

Timbalan Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, berkata sebagai wakil kepada parti kerajaan, pastinya kelebihan memihak kepada calon daripada Bersatu itu.

Ini kerana katanya, sepanjang tempoh berkempen, banyak manifesto atau cadangan-cadangan seperti meningkatkan mutu kehidupan masyarakat di sana, akan dapat dilaksanakan disebabkan beliau adalah calon daripada parti pemerintah.

“Parti pembangkang mereka tidak mampu untuk melunaskan apa sahaja janji, apatah lagi calon mereka pula daripada parti yang telah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, yang memang terpalit dengan pelbagai isu penyelewengan dan sebagainya.

“Kalau calon itu daripada parti yang  terpalit dengan penyelewengan dan sebagainya, bagaimana suara untuk memulihkan integriti dan memulihkan tadbir urus negara akan dapat dilakukan?

“Jadi, dalam era Malaysia baharu ini, kita mahu merubah negara ini ke arah yang lebih baik daripada segi tadbir urus, kewangan dan sebagainya.

“Justeru, kita memerlukan wakil daripada PH supaya segala visi yang telah kita letakkan, segala kepercayaan atau harapan rakyat untuk melihat perubahan itu berlaku, dapat diteruskan dengan meletakkan calon PH dalam parlimen agar segala janji dan polisi yang telah didasarkan itu, dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2018-2019 dan Pelancaran Hala Tuju LKIM 2019-2020 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai PRK Tanjung Piai dan calon-calon yang bertanding memandangkan kurang sehari sahaja lagi sesi pengundian akan dijalankan.

Dalam pada itu, Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, yakin bahawa pengundi di Parlimen Tanjung Piai akan memberikan sekali lagi kepercayaan kepada PH untuk menghantar calonnya sebagai ahli parlimen yang baharu.

“InsyaAllah, pengundi akan beri sekali lagi kepercayaan kepada PH untuk Haji Karmaine menjadi ahli parlimen yang baharu atas kelebihannya iaitu daripada parti kerajaan.

“Adalah penting untuk rakyat Tanjung Piai terus memberi kepercayaan kepada PH supaya momentum perkhidmatan yang sedang kita sampaikan kepada rakyat, dapat dijalankan dengan lebih baik lagi,” ujar Faiz lagi.