Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Calon umur 18 tahun dibenar bertanding

Calon berumur 18 tahun dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata ia berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun, sudah diwarta dan dikuatkuasakan.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai penyertaan calon berumur 18 tahun itu tertakluk kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada hari penamaan calon iaitu 2 November depan.

“Kami juga perlu mengadakan perbincangan dengan semua parti politik terlebih dahulu berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan adakan sesi libat urus secara bipartisan tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu,” katanya sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRK Parlimen Tanjung Piai di ibu pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.

Azizan berkata, bagaimanapun, Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan berkaitan umur mengundi 18 tahun belum dikuatkuasakan walaupun sudah diwartakan.

“Jadi pengundi berusia 18 tahun belum boleh mengundi pada PRK Tanjung Piai kerana belum dikuatkuasakan,” katanya

Pindaan Artikel 47 dan 119 Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 4 September lalu dan diwartakan pada 10 September lalu.

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Turut dipinda penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.