PRK Tanjung Piai: Kemenangan dipihak siapa?

PRK Tanjung Piai: Kemenangan dipihak siapa?

Berbaki 3 hari kempen Pilihan Raya Kecil  Parlimen Tanjung Piai, beberapa pemerhatian dibuat dan sedikit unjuran atau analisa saya cuba kongsikan.

Dalam PRK Tanjung Piai, ramai membuat andaian Barisan Nasional akan menang merampas parlimen tersebut apabila banyak isu isu diperingkat nasional memberi kesan kepada sokongan terhadap Pakatan Harapan.

BN dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila meletakkan calon dari MCA, komposisi kaum yang mana kaum cina walaupun tidak majoriti namun mempunyai jumlah undi yang significant untuk menyumbang kepada kemenangan.

Dipercayai kaum cina akan memberi undi kepada calon MCA dibandingkan Calon Bersatu.

Namun, tidak boleh diabaikan hubungan MCA dengan Pas – Umnoyang kerap bermain sentimen kaum dan agama pasca PRU14 akan menjadi kekangan untuk kaum cina mengundi MCA pada pilihan raya kali ini.

Jadi pengundi cina pasti akan merasa berbelah bahagi untuk menyokong Barisan Nasional walaupun kecewa dengan beberapa langkah kerajaan seperti isu tulisan jawi, Zakir Naik dan seumpama namun sekiranya mereka memilih MCA mereka tahu rakan atau sekutu rapat MCA adalah kumpulan yang lebih agresif memainkan isu kaum dan agama dibandingkan dari parti lain.

Kaum cina tidak dilihat akan memberi undi kepada Gerakan yang tidak akan membawa sebarang nilai atau perubahan, dan mereka turut akan memberi penilaian terhadap calon dari parti pemerintah yang pasti akan memberi sedikit kelebihan berbanding calon pembangkang sekiranya mana mana dari mereka menang kelak.

PRK Teluk Intan terdahulu boleh dijadikan contoh apabila parti penyandang iaitu DAP tewas ditangan calon Barisan Nasional yang pada waktu itu parti pemerintah walaupun calon DAP lebih popular dan mendapat sambutan bahkan sokongan dari Presiden Pas.

Pada masa yang sama, perletakan calon dari MCA oleh Barisan Nasional turut menimbulkan rasa tidak selesa penyokong Pas – Umno rentetan dari kempen atau naratif yang selama ini dibawa oleh mereka sendiri iaitu kedepankan calon melayu Islam, larangan memilih pemimpin dalam kalangan bukan islam dan seumpama akan mengalih undi penyokong Pas – Umno kepada pilihan ketiga iaitu Berjasa.

Pengundi melayu biasanya tidak akan hesitate untuk memilih Berjasa yang dilihat lebih dekat dengan sentimen mereka tanpa memikirkan strategi kemenangan.

Rekod calon Berjasa berjaya memecahkan undi melayu pada PRU13 walaupun ada tempat mereka peroleh undi lebih tinggi dari majoriti parti yang menang yang termasuk di kawasan ditandingi Pakatan Rakyat, namun umumnya Berjasa merampas undi dari Barisan Nasional yang mana sasaran mereka adalah undi melayu.

Ada kawasan jumlah undi Berjasa tidak menjejaskan keputusan pilihan raya Contohnya di parlimen Selayang jumlah undi calon Berjasa menyebabkan Bn kehilangan lebih 4000 undi berbanding pilihan raya sebelumnya namun PKR tetap menang dengan majoriti lebih 17000 undi.

Dan ada jumlah undi Berjasa peroleh tinggi dari majoriti kemenangan iaitu di Parlimen Alor Setar, calon PKR memperoleh 27364 undi mengalahkan calon BN yang peroleh 25491 undi, majoriti sebanyak 1873 undi dan calon Berjasa memperoleh 3530 undi.

Namun fakta menarik tentang calon Berjasa yang ditaja ISMA pada PRU13 adalah kesemua mereka hilang deposit walaupun gembar gemburkan Presiden Isma sebagai calon perdana menteri walaupun dia tidak bertanding.

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah keadaan dimana “senjata makan tuan”, walaupun perletakan calon Mca dikatakan bukti mereka tidak amal politik kaum namun ia tidak ubah seperti Donald Trump mendakwa dia juga tidak anti kaum kulit hitam berhujahkan dia pernah mempunyai teman wanita berkulit hitam.

Hakikat sebenar perletakan calon MCA adalah kerana desakan MCA yang akan meninggalkan Barisan Nasional sekiranya mereka tidak dicalonkan kembali yang sekaligus menutup sepenuhnya sokongan kaum cina kepada Barisan Nasional.

Pakatan Harapan mampu mengekalkan kemenangan di Parlimen Tanjung Piai, namun sedikit kegusaran sekiranya jumlah pengundi yang keluar rendah.

Tanjung Piai mempunyai seramai 52,698 pengundi dan MCA yang merupakan penyandang cukup lama dikerusi terbabit mempunyai 20,000 undi tegar, jadi sekiranya jumlah keluar mengundi adalah rendah, Pakatan Harapan akan berdepan kesukaran untuk menang.

Trend keluar mengundi PRK pasca PRU14 adalah sedikit membimbangkan, bahkan sebahagian PRK menyaksikan peratusan keluar mengundi dibawah 50%, dan ia cukup membimbangkan buat Pakatan Harapan.

Namun banyak pembolehubah yang dikenalpasti yang boleh mengubah keadaan lebih positif buat Pakatan Harapan, misalnya undi tegar kepada BN itu semuanya berlaku sewaktu BN memegang tampuk pemerintahan dan masih belum teruji sebagai pembangkang, maka undi tegar sebenar MCA/BN adalah dapat dilihat pada hari pengundian kelak.

*Penulis adalah Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu