Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Keputusan calon muda bertanding dibincang bersama Majlis Presiden PH

Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan untuk meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November depan, akan dibuat melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kita akan putuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Sukan Negara (BSN) pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Syed Saddiq berkata demikian ditanya pemberita tentang kesediaan pihak Armada untuk menghantar calon pada PRK tersebut.

Ini susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada pagi tadi yang membenarkan calon berusia 18 tahun untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Dalam perkembangan sama TImbalan Presiden PH Mohamad Sabu turut memberitahu PH belum menrima sebarang notis pemberitahuan daripada Majlis Presiden PH untuk mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon yang akan bertanding pada PRK Tanjung Piai.

Ini susulan katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat.

“Setakat hari ini belum ada lagi notis pemberitahuan mesyuarat Majlis Presiden PH mengenai PRK Tanjung Piai.. kita tunggu Tun M balik,” ujar Mohamad yang juga Presiden AMANAH ketika ditanya pemberta  selepas hadir pada Majlis Penghargaan Media di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

PRK Tanjung Piai akan diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Mengulas lanjut mengenai BSN, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menyasarkan penyertaan seramai 5 juta orang di seluruh negara merangkumi peringat negeri, daerah dan kebangsaan.

Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara peringkat kebangsaan yang mengetengahkan unsur 3M iaitu Murah, Mudah dan Menarik akan diadakan pada 12 Oktober ini bertempat di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.