Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Modal perkauman pembangkang makan diri sendiri, kata Dr Hatta

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Hatta Ramli menyifatkan, isu perkauman yang dimainkan pihak pembangkang selama ini, memakan diri apabila mereka sendiri meletakkan calonnya daripada MCA.

Katanya, segala kempen retorik pembangkang mengenai kaum dan agama adalah hanya untuk menimbulkan keresahan dan rasa kurang senang antara kaum.

“Namun, apabila tiba musim pilihan raya, mereka (pembangkang) terpaksalah menerima realiti bahawa negara kita ini adalah negara yang majmuk.

“Apa yang mereka putuskan (meletakkan calon MCA) itu tidak senada lah dengan kempen awalan Umno iaitu yang menjurus ke arah perkauman.

“Jadi, mereka tidak boleh semudah-mudahnya menggunakan isu perkauman ini secara berterusan dan akhirnya mereka akan tunduk juga kepada realiti,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang dipilih bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Dalam pada itu, Dr Hatta yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawan berkata, beliau tidak akan terkejut sekiranya ada pihak yang menggunakan isu retorik pembangkang untuk menghentam mereka semula.

“Mungkin mereka (pembangkang) akan menjawab mengenai isu ‘kewarasan’. Apa pun, kami dalam Pakatan Harapan (PH) kekal dengan politik rasional tanpa mengira calon.

“Saya juga yakin pengundi dan rakyat di negara ini menyedari tentang mainan politik parti BN khususnya Umno dan Pas yang ianya hanya sebagai retorik politik. Akhirnya pembangkang akan tunduk juga kepada realiti,” katanya lagi.

Setakat ini, PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan BN diwakili oleh Wee Jeck Seng daripada MCA manakala Pengerusi Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini menjadi calon PH dan Gerakan melalui Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam.

PRK P.165 Tanjung Piai merupakan PRK kali kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi PRK kali pertama selepas terbentuknya Piagam Muafakat Nasional oleh BN dan Pas.