PRK Tanjung Piai: Padang sama rata, peratusan keluar mengundi jadi penentu

PRK Tanjung Piai: Padang sama rata, peratusan keluar mengundi jadi penentu

Selepas kematian Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik, yang juga Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (JPM), pastinya soal Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi topik yang hangat diperkatakan.

Pada 2 September lalu, kebetulan ketika itu saya telah berkunjung ke sebahagian kawasan di Parlimen Tanjung Piai meninjau pandangan masyarakat setempat tentang prestasi kerajaan dan kekuatan blok pembangkang.

Nyatanya takdir telah tertulis apabila pada 21 September selang 19 hari berlalu, berlakunya berita yang mengejutkan apabila khabar duka diterima mengatakan bahawa Dr. Farid telah menghembuskan nafas terakhirnya di subuh hari Sabtu itu.

Berita itu benar-benar merentap perasaan sahabat taulan beliau dan apatah lagi beliau merupakan sahabat yang baik sepanjang pengenalan kami. Namun ianya seperti sudah tertulis apabila 2 September saya telah pun menjejakkan kaki terlebih dahulu untuk mengetahui respon masyarakat.

Respon yang diperoleh membuktikan bahawa jika muncul sebarang pilihan raya, kerja keras di antara kedua-dua pihak pasti akan berlaku. Rekod Dr. Farid sebagai ahli parlimen juga kini jadi kayu pengukur keputusan yang bakal diterima pada 16 November nanti.

Kedua-dua pihak ada kelebihan dan ada kekurangan. Bagi pihak PH, sebagai sebuah kerajaan, perlumbaan untuk mengekalkan prestasi amat dituntut oleh masyarakat apatah lagi di parlimen tersebut telah memperlihatkan majoriti yang tipis sewaktu kemenangan Dr. Farid dalam PRU-14 lalu.

Hujah sebelum PRU-14 mudah dibaca apabila wirid dari mulut masyarakat di situ hanya membacakan mantera penukaran kerajaan BN kepada pimpinan Tun Dr. Mahathir. Tapi pastinya kali ini masyarakat di situ amat berbeza sekali wiridnya.

Ukuran tahap pencapaian serta kegagalan kerajaan PH menjadi perhitungan akhir. BN yang kini dibantu oleh parti Pas mulai mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya Melayu yang mula mempercayai kekuatan penyatuan ummah yang sedang giat digagaskan oleh Umno-Pas.

Pastinya ini menjadi ancaman kepada kerajaan PH yang dilihat leka dalam menguruskan permasalahan masyarakat di negeri mahupun negara ini. Masyarakat melihat kerajaan PH hari ini seperti layu dan tiada sebarang penyelesaian dalam menangani permasalahan mereka.

Soal sensitif yang berlaku dalam kalangan Melayu, soal tawaran yang baik untuk Cina dan soal kekacauan dalam perpaduan menjadi faktor untuk masyarakat mulai menolak kerajaan PH yang memerintah hari ini.

Ini adalah permasalahan yang ketara dilihat oleh masyarakat terhadap pemerintahan PH. Untuk negeri pula, pelbagai kesinambungan dan usaha baharu yang dilakukan oleh kerajaan PH namun masih tidak berjaya membeli hati masyarakat yang bakal mengundi pada PRK kali ini.

Itu masalah dialami kerajaan PH, bagaimana pula dengan respon negatif terhadap BN atau Umno-Pas?

Masyarakat melihat apa yang dilakukan oleh Umno-Pas ini adalah suatu perkara yang baik namun kegagalan Adun Kukup Datuk Md Othman Yusof atau dikenali sebagai Tok Moy telah menyebabkan masyarakat di situ tidak yakin untuk memberikan undi kepada calon dari Umno jika bertanding.

Kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang disenaraikan di atas dan yang lebih ketara lagi apabila komponen BN mulai retak dengan perebutan siapa yang akan bertanding sama ada MCA atau pun Umno?

Kerajaan PH pula mempunyai kelebihan dari segi kerajaan yang memerintah justeru pelbagai tawaran pembangunan serta janji mampu untuk direalisasikan secara realistik.

Selain itu, kejayaan Allahyarham Dr. Farid juga memainkan peranan penting kerana sepanjang hayat kepimpinannya, pendekatan mesra kepada masyarakat mudah mencuit hati pengundi.

Pandangan lain yang diperolehi, prestasi yang ditonjolkan oleh Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong amat memberangsangkan serta mampu menjadikan pengundi menolak kepimpinan BN di Tanjung Piai.

BN yang bakal dibantu Pas berpeluang cerah untuk memenangi hati pengundi. Seperti mana yang dapat dilihat pada PRU-14, majoriti hanyalah 524 undi namun pertembungan menjadi tiga penjuru dengan pembabitan Pas sebagai calon ketiga yang mendapat 2,962 undi.

Teorinya mudah, undi dari Pas itu jika digabungkan dengan dengan undi calon BN kita akan mendapat jawapan di mana calon PH akan tewas. Ini adalah kelebihan yang dimiliki oleh calon dari BN pada PRK kali ini.

Namun, itu sekadar teori kerana dalam jangkaan selepas turun padang dilakukan, peratusan pengundi akan merosot kerana PRK bagi sesetengah pihak tidak mendatangkan apa-apa perubahan.

Padangnya sama rata dan perhitungannya adalah pada peratusan keluar mengundi. Jentera pilihan raya harus menjadi kreatif dalam usaha mengajak pengundi untuk keluar mengundi.

Teori kelebihan BN di atas adalah berpandukan kepada calon dari parti mana. Jika dari MCA atau Umno, maka teorinya berbeza dan ini akan ditentukan selepas penamaan calon akan datang.

Soal yang paling mencabar bagi PH, bagaimana untuk meyakinkan pengundi sepanjang tempoh berkempen dalam PRK kali ini berkenaan dengan prestasi mereka.

  • Artikel ini kali pertama disiarkan dalam akhbar Mingguan Amanah, Edisi 172.