Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Pengajaran buat Kimanis

Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dilihat sebagai penolakan serta bantahan rakyat terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Selain faktor luaran, PH juga harus jujur menilai kekalahan tersebut dari sudut dalaman parti-parti komponen.

Sebaik sahaja kerusi Tg Piai diisytiharakan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jentera PH telah bergerak ke Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM). Kaedah yang digunakan ialah semua PDM akan dketuai oleh jentera Bersatu dan petugas dari parti komponen lain akan membantu mengikut agihan negeri. Kaedah ini dilihat sebagai usaha PH memaksimumkan kerjasama antara petugas dari semua parti dan tidak hanya tertumpu kepada PDM masing-masing.

Walau bagaimanapun sejak dari awal lagi pendekatan ini dilihat gagal dan penyelarasan antara petugas tidak berlaku.

Ketua PDM dari Bersatu kebanyakannya tidak bersedia untuk memberi arahan dan tidak mempunyai pengalaman menyelaraskan jentera yang besar. Petugas yang hadir ke PDM tidak dibekalkan dengan senarai pengundi. Culaan awal juga tidak dilakukan oleh PDM menyebabkan banyak masa terbuang untuk melakukan culaan, walaupun kebanyakan petugas tidak mengenali pengundi.

Petugas dari PDM juga amat sedikit dan di sesetengah kawasan tiada petugas tempatan. Ketua MPKK dan Ketua Kampung tidak memberikan kerjasama sebagaimana sepatutnya yang memberikan kesan kepada program yang diatur jentera PH. Walaupun sudah menjadi kerajaan, jentera PH jauh tertinggal di belakang jentera BN yang menguasai pengundi setempat.

Salah satu isu besar adalah kelewatan jentera PH mengeluarkan bahan kempen. Walaupun setelah lebih tiga hari Penamaan Calon berlangsung, tiada bahan kempen calon diedar kepada jentera. Perayu undi PH terpaksa masuk ke kampung dan rumah tanpa sebarang bahan yang sepatutnya diedarkan.

PH juga terlalu bergantung kepada ceramah kelompok untuk menyampaikan kempen. Sama ada sedar atau tidak, ceramah kelompok PH langsung tidak mendapat sambutan dari penduduk setempat. Kebanyakan kerusi diisi oleh petugas parti dari luar.

Kelemahan terbesar adalah kurangnya rasa kerjasama dalam kalangan petugas PH. Akibatnya jentera tidak diselaraskan dan petugas dari berlainan parti bergerak tanpa arahah jelas kecuali di beberapa PDM. Ada juga parti yang langsung tidak menghantar petugas di PDM yang telah ditetapkan.

PH harus realistik dalam mengatur jentera pilihan raya. Kebanyakan petugas parti masih dibelenggu dengan kebiasaan menerima ‘peruntukan’ atau ‘wang pelincir’. Ini menyebabkan ketua di PDM akan mempastikan peruntukan hanya disalurkan melalui PDM dan mengakibatkan berlakunya persaingan dalam kalangan jentera.

Mentaliti ini tidak boleh dinafikan menjadi antara faktor besar kelemahan jentera PH sehingga ada bendera PH yang roboh ke tanah tidak dinaikkan kerana ia dikatakan kerja orang lain.

PRK Kimanis akan menjadi padang ujian besar kepada PH. Bukan soal siapa yang akan dilawan, tetapi bagaimana pemimpin PH mengatur jentera terutamanya apabila semua PDM akan diketuai oleh Parti Warisan Sabah.

Sudah tentunya pemimpin tempatan Warisan keberatan untuk memberikan laluan kepada petugas parti lain mengetuai jentera di PDM. Respons dari parti-parti PH juga menarik untuk dilihat sama ada boleh bekerjasama dengan petugas Warisan yang kebanyakannya merupakan seteru lama sebelum PRU14 dan selepasnya juga.

Perlu diakui hubungan antara pemimpin atasan Warisan dan PH dilihat baik, tetapi realiti di bawah jauh lebih buruk. Tiadanya mesyuarat rasmi di antara komponen parti PH di peringkat cawangan dan kawasan menyebabkan hubungan hampir tiada. Hubungan rasmi antara Warisan dan PH di peringkat negeri dan nasional tidak dikongsi di peringkat ahli bawahan.

Umum mengetahui hubungan dingin di antara Warisan dan Bersatu. Kerjasama antara dua parti ini menjadi penentu sama ada PH-Warisan mampu mengharungi PRK ini secara damai tanpa usaha pintu belakang. Sehingga hari ini masih ada usaha untuk mengetengahkan calon selain dari Warisan.

PH dan Warisan perlu segera ke meja rundingan untuk memilih kaedah kerjasama terbaik antara jentera bagi tidak mengulangi kesilapan di Tg Piai. Formula yang saling menghormati perlu dicapai segera dan arahan jelas kepada ahli bawahan perlu diberikan.

Jentera pilihan raya mungkin perlu dibahagikan mengikut parti dan tidak lagi mengikut formula PH negeri. Ia lebih memudahkan arahan dan kerja pilihan raya dapat diatur dengan tersusun dan cepat. Ia juga bagi mengelakkan ada sleeping partner dalam kalangan komponen.

PRK Kimanis adalah ujian kepada pemimpin PH dan Warisan mengawal ahli parti masing-masing. Kegagalan menyusun jentera PH Warisan akan menyebabkan peluang kemenangan di Kimanis akan terancam. Pemimpin di peringkat tertinggi semua parti harus melihat realiti berbanding laporan yang baik dan bertapis dari pemimpin kawasan dan cawangan.

Kekalahan PH-Warisan di Sabah akan menjemput gelombang penolakan rakyat terhadap kerajaan ke negeri yang masih dilihat stabil. Ia juga sebagai ujian awal kemampuan PH untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak.

* Haris Alimudin adalah Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional