Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Persaingan dua penjuru berpotensi beri kemenangan kepada BN

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan membayangkan persaingan dua penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, berpotensi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Ahmad berkata, dalam PRK kali ini, Pas juga sudah mengesahkan tidak akan bertanding, dan persaingan dua penjuru sememangnya memberi peluang yang baik kepada BN.

“Sebenarnya, dua penjuru memang memberi peluang yang baik kepada kita. Ini kerana, apabila kita campur undi Pas dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, sepatutnya kami menang di Tanjung Piai.

“Sekarang kami kalah lebih kurang 500 lebih undi, tetapi kalau campur undi Pas, kami menang lebih kurang 400 lebih undi.

“Jadi, strategi dua penjuru ini adalah strategi tepat, cuma kami belum membuat keputusan untuk meletakkan siapa calon untuk bertanding nanti. Itu (keputusan meletakkan calon) biarlah Presiden yang tentukan,” katanya eksklusif kepada Malaysia Dateline, di Parlimen hari ini.

Ahmad mengulas demikian ketika ditanya mengenai persaingan calon parti-parti politik dalam PRK itu nanti dan sejauh mana ia boleh mempengaruhi pola pengundian kaum Melayu, Cina dan India.

Bagaimanapun dalam PRK kali ini, Ahmad berpendapat, persaingan tiga penjuru daripada parti-parti besar tidak akan berlaku.

“Kalau ada pun persaingan tiga penjuru, ianya hanya akan melibatkan calon-calon bebas yang tidak dikenali ramai.

“Walaubagimanapun, parti Putra ada menyebut bahawa jika kedua-dua parti meletakkan calon bangsa Cina, mereka akan letak calon Melayu.

“Jika kedua-dua parti (BN dan Pakatan Harapan) meletakkan calon Melayu, saya rasa Putra tidak akan terlibat dalam PRK kali ini,” katanya lagi.