Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan 70 peratus masyarakat akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, berdasarkan landskap politik semasa, pihaknya melihat 70 peratus itu adalah anggaran yang realistik.

“InsyaAllah saya rasa 70 peratus keluar mengundi itu mungkin dapat dicapai, ditambahkan lagi dengan persaingan sengit yang melibatkan enam pencalonan kali ini.

“Jadi, saya rasa pihak parti politik yang bertanding akan menjalankan usaha lebih kuat dalam memastikan penyokong mereka keluar mengundi pada PRK kali ini,” katanya pada sidang media selepas selesai sesi Penamaan Calon, di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor.

PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), calon Barisan Nasional (BN), Berjasa, Gerakan dan dua calon Bebas.

Calon-calon tersebut adalah, Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai manakala Dr Wee Jeck Seng merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai.

Wee adalah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008, sebelum tewas kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Sementara itu, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 56, yang mewakili parti Berjasa adalah seorang bekas pensyarah berasal dari Muar, manakala Dr Ang Chuan Lock, 49, daripada parti Bebas merupakan pemilik pusat tuisyen dan seorang lagi calon bebas, Faridsh Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 12 November ini yang akan melibatkan 280 pengundi awal daripada jumlah keseluruhan pengundi iaitu 52,986.

Seramai 52,698 pengundi biasa akan membuang undi pada 16 November di 125 saluran mengundi iaitu masing-masing 60 dan 65 saluran di N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup.

Dari segi jantina, sebanyak 50.52 peratus iaitu 26,769 orang terdiri daripada pengundi lelaki manakala pengundi berusia 30 hingga 39 tahun mewakili segmen pengundi terbesar iaitu 12,012 orang (22.67 peratus) diikuti pengundi 40 hingga 49 tahun seramai 11,055 orang iaitu 20.86 peratus.

PRK Tanjung Piai juga merupakan PRK kali pertama selepas pemeteraian rasmi Muafakat Nasional antara Pas-Umno selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen tersebut pada PRU-14 lalu yang membabitkan saingan tiga penjuru dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee Jeck Seng.