Malaysia Dateline

PRK Tanjung Piai: Terpalit politik persepsi, PH mungkin sukar peroleh undi Melayu

 

Pakatan Harapan (PH) dijangkakan berada dalam keadaan sukar untuk memperoleh sokongan rakyat yang disebabkan kegagalan kerajaan dalam menangkis dan mengurus politik persepsi.

Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid

Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid menegaskan perkara berkenaan yang menyatakan ia merupakan cabaran kepada kerajaan dalam pertembungan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kali ini.

“Mereka sekarang ini berdepan dengan pengurusan persepsi yang melibatkan naratif Melayu dalam PH dan bagaimana mahu mendepani isu Melayu Islam terutamanya.

“Suhu perkauman yang semakin panas juga berlaku disebabkan PH kalah dalam perang persepsi. Dia katanya berada dalam sentimen Malaysia baharu kerana tak mahu guna jentera kerajaan. Tapi politik adalah politik. Mereka kena guna saluran yang ada.

“Selain itu, persoalan peralihan kuasa sangat mendominasi perbualan politik PH ketika ini. Sedikit sebanyak memainkan peranan dan beri kesan di Tanjung Piai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum ‘PH vs BN: Impak Pola Sokongan dalam PRK P165, di Universiti Malaya, hari ini.

Beliau turut berkata, kerajaan masih lagi berhadapan dengan ‘reality bites’ selepas kalah dalam tiga siri PRK terutama di Semenyih dan Cameron Highland.

Justeru menurutnya, kerajaan perlu merangka dan meneruskan struktur baharu yang lebih jelas di peringkat agar umbi bagi memastikan jentera PH bergerak di setiap peringkat.

Beliau turut membandingkan struktur pergerakan jentera kerajaan dalam tiga siri PRK lalu yang disifatkan jauh berbeza, malahan struktur jentera Pilihan Raya Kecil kali ini dilihat lebih baik dan tersusun kemas.

“Hasil kajian Ilham Centre, di Semenyih dan Rantau kita lihat bagaimana kegagalan struktur akar umbi itu sangat jelas. Kita tidak melihat struktur yang jelas bagaimana kempen dijalankan dan kerjasama boleh dilakukan.

“Tetapi menariknya di Johor kali ini saya lihat hubungan dengan kepimpinan PH di peringkat Negeri mahupun Pusat itu menjadi semakin jelas .

“Saya rasa model yang mereka lakukan setakat ini di Tanjung Piai amat jelas. Contohnya, Pengarah Jentera PH ialah Menteri Besar walaupun beliau bukan ketua Bersatu, selain setiap ketua parti dalam komponen PH menjadi timbalan dan diberikan portfolio yang jelas,” ujarnya.

Baca: PH letak calon terbaik