PRK Tanjung Piai: Umno tiada alasan kukuh untuk bertanding

PRK Tanjung Piai: Umno tiada alasan kukuh untuk bertanding

Tiada keperluan untuk pakatan pembangkang bertanding dan meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, tegas Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, sebahagian pemimpin Umno telah menyatakan sokongan agar Tun Dr Mahathir kekal di jawatan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Perkembangan politik semasa menyaksikan tiada pilihan raya kecil Tanjung Piai. Seolah-olah ada kemungkinan PRK ini akan diisytiharkan kemenangan tanpa bertanding kepada Pakatan Harapan yang diwakili calon dari Bersatu.

“Pas juga telah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal ini.

“Ini bermakna Pas sudah tentu tidak ada keperluan untuk berkempen pada PRK akan datang sebab jika Pas turun berkempen bermakna bercanggah dengan hasrat mereka untuk melihat kepimpinan Dr Mahathir tidak diganggu gugat,” ujarnya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian dalam satu rakaman video yang dimuatnaik hari ini di Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat BN khususnya Umno tidak ada kekuatan untuk bertanding di P165 tanpa sokongan petugas-petugas kempen daripada Pas.

“Umno sendiri berpecah dalam soal ini. Sebab itu saya melihat bahawa MCA mahupun Gerakan juga tiada keperluan untuk meletakkan calon mereka.

“MCA dan Gerakan tidak akan didukung oleh parti-parti pembangkang yang lain iaitu Pas dan sebahagian besar Umno itu sendiri,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau berasa bersyukur sekiranya tiada PRK Parlimen Tanjung Piai tidak berlaku lantaran dapat menjimatkan wang negara.

“Jika ini berlaku, saya bersyukur kerana kita tidak perlu berhabis banyak wang kalau parti-parti pembangkang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sehingga akhir penggal ini.

“Sokongan mereka juga sepatutnya bersekali dengan parti yang didukung oleh Dr Mahathir iaitu Bersatu.

“Jadi, saya harap mereka menyatakan secara zahirnya untuk tidak meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai ini,” tambahnya lagi.