Malaysia Dateline

PRK Tg Piai: Berjasa mahu MCA beri laluan calon Melayu

Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) menyarankan agar komponen BN dari MCA menyerahkan kerusi tradisi di Parlimen Tanjung Piau kepada parti Melayu.

Presidennya Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz berkata, kekalahan MCA pada PRU14 dan penurunan undi beberapa PRU sebelum PRU14, semangat kesepakatan Melayu Islam hasil dari Muafakat Nasional Umno-Pas, keadaan semasa politik dan lain-lain telah membuktikan bahawa pilihan calon Melayu Islam adalah yang terbaik.

“MCA perlu berkorban dan memberi laluan serta kena faham kerana ini bukan PRU tetapi PRK yang memerlukan strategi tertentu untuk menang dan melonjakkan perjuangan pembangkang dalam PRU-PRU akan datang untuk menguasai negara.

“Bila PRU15 nanti, medan untuk berbincang pembahagian kerusi yang lebih menyeluruh boleh dibuat mengambil kira kepentingan semua kaum.

“MCA akan nampak lebih ikhlas kalau memberi laluan kepada calon Melayu dari mana-mana parti dan bekerja bersungguh-sungguh menarik undi kaum Cina yang selama ini ke PH dalam PRU-PRU lepas di Tanung Piai, kembali kepada pembangkang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, Untuk menguatkan kesepakatan orang Melayu Islam yang sepatutnya mendominasi kepimpinan negara, maka Berjasa menyeru satu perbincangan antara semua parti-parti Melayu bersama-sama pemimpin-pemimpin NGO, pemimpin masyarakat nasional dan tempatan diadakan.

“Umno dan Pas kena ikhlas dalam membuktikan Muafakat Nasional bukan hanya untuk mereka berdua tetapi adalah melangkaui dan melibatkan semua orang Melayu.

“Jika tidak, kepercayaan yang diberi oleh orang-orang Melayu pada 14 September lepas, akan lebur dan sukar untuk dikembalikan.

“Muafakat Nasional akhirnya akan jadi retorik dan bahan peluru PH jika memilih calon bukan Melayu sebagai calon PRK Tanjung Piai kali ini.

” Ini bukan isu perkauman tetapi strategi yang perlu digunapakai pada waktu dan situasi tertentu,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, MCA Tanjung Piai dilaporkan akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN dalam aspek pemilihan calon pada PRK berkenaan.

Laporan turut menyebut, Jeck Seng selaku Ketua MCA bahagian itu, yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, menyedari wujud desakan beberapa pihak supaya kerusi itu diserahkan kepada UMNO tetapi menganggapnya sebagai kebebasan bersuara.

Selain desakan daripada Umno Tanjung Piai yang menuntut kerusi berkenaan, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi (IPS) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menyarankan MCA memberi laluan kepada calon Melayu sama ada daripada PAS atau UMNO berikutan ia kerusi majoriti Melayu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, berkata selaku parti komponen BN, MCA perlu mengetepikan sentimen atau sejarah kerusi tradisi, sebaliknya mengutamakan kepentingan politik pembangkang.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.