Malaysia Dateline

PRK Tg Piai: Calon Bebas bertanding untuk bawa suara ketiga kepada masyarakat

Calon bebas, Dr Ang Chuan Lock, 49, menyifatkan penyertaan dirinya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah untuk menjadi suara ketiga kepada masyarakat di kawasan parlimen berkenaan.

Katanya, selepas kematian bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafi, beliau terpanggil untuk menceburkan diri dalam dunia politik.

“Sebelum ini saya tiada niat untuk menyertai arena politik, tetapi ianya datang selepas kematian Dr Farid. Lama juga saya memikirkan untuk terlibat dalam dunia politik ini.

“Tujuan saya menjadi calon adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat di sini dan seperkara lagi saya juga tiada masalah bekerja dengan sebarang parti politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon, Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Ditanya mengenai simbol yang akan digunakan dalam PRK kali ini, pengasas di tiga buah pusat tuisyen yang juga calon tempatan itu berkata, beliau akan menggunakan simbol kunci bersamaan namanya iaitu ‘Lock’.