Malaysia Dateline

PRK Tg Piai: Calon-calon tinjau pengundian awal

Calon-calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini meninjau sendiri proses pengundian awal bagi PRK itu yang dijalankan di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini.

Paling awal adalah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang tiba sebelum pusat pengundian itu dibuka pada 8 pagi, diikuti calon-calon lain iaitu Wendy Subramaniam (Gerakan), Karmaine Sardini daripada Pakatan Harapan (PH), Faridah Aryani Abd Ghaffar (Bebas) dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz daripada Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa).

Seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock tidak kelihatan sehingga 11 pagi.

Calon-calon yang ditemui masing-masing berharap semua anggota Polis yang layak untuk mengundi awal itu dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

“Sewajarnya anggota-anggota polis yang terlibat untuk mengundi awal hari ini, turun menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan rakyat,” kata Karmaine

Calon Gerakan Wendy Subramaniam pula meluangkan masa selama 20 minit untuk melihat proses pengundian awal itu dengan melawat kedua-dua saluran iaitu saluran satu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan saluran dua bagi DUN Kukup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh ketika ditemui pemberita berharap agar proses undi awal itu berjalan dengan lancar.

“Semua pegawai dan anggota saya telah bersiap sedia utk mengundi awal bagi PRK Parlimen Tanjung Piai dan kita harap sepanjang hari ini daripada 8 pagi hingga 5 petang berjalan dengan lancar dan harap semua pengundi awal turun untuk mengundi,” katanya..

Bagi memastikan proses undi awal itu berjalan dengan lancar, Mustafa berkata seramai 10 pegawai dan anggota polis daripada IPD Pontian ditugaskan untuk menjaga keselamatan serta mengawal proses undi awal bagi PRK tersebut.

Berdasarkan tinjauan Bernama di lokasi, proses mengundi awal berjalan lancar dan cuaca berada dalam keadaan baik.

PRK tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyatnya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal (pegawai dan anggota polis), serta lapan orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. Hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.– BERNAMA