Malaysia Dateline

Mohamed Azmin Ali

PRK Tg Piai: Rekod cemerlang Allahyarham berpotensi raih sokongan kepada PH

Rekod cemerlang pentadbiran bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dilihat berpotensi untuk terus meraih sokongan penduduk di sana menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan, Allahyarham sering berbincang bersama beliau mengenai peruntukan pembangunan yang perlu dibawa ke Tanjung Piai.

“Saya bersama YB Senator Dr Mohd Radzi telah meneliti semua permohonan Allahyarham, malah sebelum meninggal, kita telah meluluskan RM14 juta untuk Tanjung Piai dan ia hasil desakan beliau untuk membangunkan kawasannya (Tanjung Piai).

“Saya bersyukur kerana ketika Almarhum menjadi ahli parlimen, beliau adalah salah seorang yang cukup dekat dengan rakyat, dan dikenali baik oleh rakyat Tanjung Piai.

“Di Tanjung Piai, beliau juga mempunyai satu rekod kerja yang cukup cemerlang dan ini memudahkan kita untuk mendapat sokongan rakyat di sana pada PRK kali ini, insyaAllah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai pandangannya terhadap peluang untuk Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi parlimen di sana.

Mengenai sokongan pengundi di sana, Azmin berkata ianya akan dapat dilihat selepas sesi penamaan calon pada Sabtu ini.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Bersatu akibat serangan jantung pada 21 Sept lalu.

PH meletakkan calon yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai iaitu Karmaine Sardini, manakala calon Barisan Nasional (BN) masih menjadi teka-teki ketika ini berikutan majlis pengumuman calon yang dijangka pada Isnin ditangguhkan, sebaliknya hanya jentera parti itu yang dilancarkan.