Malaysia Dateline

PRK Tg Piai: Tumpuan PH, sokongan pengundi tidak terjejas walau Putra bertanding

Hasrat Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) meletakkan calonnya untuk bertanding merebut kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Tanjung Piai, ia tidak memberi kesan besar terhadap pengundi mahupun menggugat parti lain.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dari segi demokrasi, mana-mana parti layak untuk bertanding tanpa halangan dan beliau mengalu-alukan hasrat Putra untuk meletakkan calonnya.

“Oleh kerana parti Putra ini tidak terlibat dengan kita (Pakatan Harapan) mahupun disebelah sana (pembangkang), jadi kita tak tahu apa tujuan dia.

“Tapi saya lihat, ia tidak memberi kesan yang besar sebab pertembungan itu amat jelas antara Pakatan Harapan dan BN.

“Cumanya, akan ada lah sedikit sahaja kesan sebab mungkin ada orang yang nak ambil alternatif (tidak mahu mengundi kerajaan mahupun pembangkang),” katanya kepada Malaysia Dateline.

Jelasnya, kehadiran Putra yang tidak sampai enam bulan ditubuhkan itu, sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pengundi terhadap dua parti besar yang bertanding.

“Kita tak tergugat. Cuma ada lah dia kacau sikit, tapi tak menjejaskan tumpuan orang pada dua (parti) ini.

“Tergugat mungkin dari segi kelompok yang tak nak atau nak meluahkan mereka tak suka (pembangkang dan kerajaan), maka dia cari lah (Putra),” katanya.

Pada Sabtu, Putra memutuskan akan bertanding di semua kawasan majoriti penduduk Melayu dalam mana-mana pilihanraya.

Mengumumkan perkara itu, Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali menjelaskan, dengan itu Putra akan meletakkan calonnya untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Tanjung Piai kelak.

Sebagaimana kerjasama Umno-Pas mahupun PH bersama empat komponen parti, beliau berkata, Putra sama sekali tidak akan menyertai mana-mana blok parti dan akan bergerak solo.