Malaysia Dateline

PRK Tjg Piai: Bakal calon perlu buat semakan awal sebelum hari penamaan calon, kata SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menggesa semua bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata semakan awal pengisian borang pencalonan mereka itu boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Daerah Pontian atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor di Johor Bahru sebelum hari Penamaan Calon.

“Tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan.

“Ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang semasa Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

” Malah ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk mencari calon yang layak dan membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPR lagi, Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan ibrahim, Pontian antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada Sabtu, 2 November 2019 ini.

Selain daripada itu, bakal-bakal calon juga turut diingatkan untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

Bakal-bakal calon juga adalah diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon.

Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada Hari Penamaan Calon kelak, kata kenyataan itu.

Semalam Pakatan Harapan telah mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRK Tanjung Piai, seorang Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Piau Karmaine Sardini,66, tahun.

PRK165 Tanjung Piai dijangka akan berhadapan pertandingan tiga penjuru antara BN dan Gerakan.

Gerakan dijangka akan mengunmumkan nama calonnya hari ini manakala BN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding esok.

PRK P.165 itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Pas , Nordin Othman.