PRK UM: Peratus keluar mengundi rendah, bencana besar menanti PRU14

PRK UM: Peratus keluar mengundi rendah, bencana besar menanti PRU14

Keputusan Pilihan raya Kampus Universiti Malaya (PRK UM) semalam mencatatkan kemenangan bergaya kumpulan pro Najib Razak mengatasi kumpulan pro mahasiswa.

Kumpulan pro Najib Razak yang digelar Penggerak Mahasiswa telah memenangi 29 kerusi, berbanding kumpulan pro mahasiswa yang didominasi Angkatan Mahasiswa, Demokrat UM dan Umany dengan perolehan 7 kerusi.

Berdasarkan angka rasmi semalam, faktor terbesar yang menyumbang pada kekalahan kumpulan pro mahasiswa adalah peratus keluar mengundi yang amat rendah, sekitar 64.97% sahaja.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya diisi oleh mahasiswa tahun pertama yang masih baharu dengan politik kampus. Sementelah mahasiswa tahun kedua dan ketiga yang rata-ratanya telah berpengalaman dan faham selok-belok pentadbiran universiti, mengambil sikap untuk tidak mengundi.

Fenomena ini amat membimbangkan. Kecenderungan anak muda yang masak tentang politik dan segala skandal yang membelit ekonomi negara untuk duduk diam bakal menjadi malapetaka yang akan mengekalkan Najib Razak selepas Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jangkaan terburuk ini walau pahit untuk ditelan, merupakan kemungkinan tertinggi jika trend peratusan keluar mengundi yang rendah itu terherot hingga ke hari pembuangan undi nanti.

Maka sesuatu perlu dilakukan. Memahami bahawa ramai anak muda telah muak dan sedang menjauhkan diri dari politik, kita – anak muda juga – perlu mengubah landskap politik semasa.

Politik perlu bergerak dari medan yang dibenci kepada ruang yang dicintai. Kecintaan pada politik hanya wujud dengan kerja-kerja pembelaan terhadap majoriti rakyat yang susah, serta diadun dengan idea-idea polisi berorientasikan kekeluargaan dan komuniti.

Semua ini takkan berlaku jika anak muda tidak turun tangan. Sama ada di dalam atau di luar parti politik, kerja-kerja untuk memastikan peratusan keluar mengundi tertinggi untuk PRU-14 nanti adalah kerja semua daripada kita.

Jika gagal, yang menanggung akibatnya juga adalah kita. Justeru bentuklah kumpulan-kumpulan kecil dan bergerak. Usah ditunggu mereka yang mahu terus menunggu. Kerana kita bukan sekadar pungguk yang hanya mampu merindukan bulan.

Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional