PRM harap tragedi Christchurch dijadikan ikhtibar

PRM harap tragedi Christchurch dijadikan ikhtibar

Parti Rakyat Malaysia (PRM) amat kesal terhadap peristiwa tembakan rambang di masjid bandar Christchurch yang menyebabkan kematian 49 orang dan mengutuk sekeras-kerasanya perbuatan demikian, serta mengirim salam dan takziah kepada keluarga dan saudara mara yang terlibat.

Ketua Biro Penerangan PRM, Tan Kang Yap berkata, tidak kira apa alasan sekali pun, tiada sebarang agama dan manusia, mengizinkan barang siapa menyerang dengan kekerasan atau merampas nyawa terhadap mereka yang tidak berdosa.

“Mudah-mudahan semua pihak, terutama mereka yang melibatkan diri dalam politik dapat mengambil sebagai pengajaran daripada peristiwa ini, jangan sekali-kali demi kepentingan parti dan individu menggunakan sentimen agama dan perkauman menghasut emosi rakyat.

“Sekecil bara api mampu membakar sebuah hutan. Peristiwa tembakan di masjid bandar Christchurch seharusnya dijadikan ikhtibar supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, pihaknya dengan setinggi harapan agar rakyat tidak melibatkan diri atau menyokong sebarang bentuk perbuatan yang melibatkan ekstremisme agama dan perkauman malah mengutuk dan menolak kuasa politik terhadap parti yang terlibat.