Malaysia Dateline

PRM mahu kerajaan dedah dalang menggerakkan ‘daulah terpendam’

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mahu agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan dalang disebalik dakwaan wujudnya daulah terpendam (deep state) yang merancang rampasan kuasa dan plot kerajaan pintu belakang.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan baru-baru ini yang membongkar terdapat ‘deep state’ yang menghalang pengurusan polisi kerajaan dan menuding jari kepada segelintir pejawat awam yang melibatkan diri dalam perbuatan sedemikian.

Ketua penerangannya, Tan Kang Yap berkata, kerajaan tidak akan dapat melaksanakan perjanjiannya serta Dekralasi Rakyat untuk menyelamatkan Malaysia sekiranya dalang tersebut tidak didedahkan.

“Guan Eng pula menyalahkan segelintir pejawat awam. Ini bukan sahaja kerana nila setitik merosakkan susu sebelanga, malah tidak munasabah dan tidak adil kepada mereka yang tidak terlibat.

“Kerajaan perlu bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Demi mendapat keuntungan bagi pihak pemegang sahamnya iaitu rakyat, maka makluman harus disampaikan dari pihak atas ke bawah agar kakitangannya iaitu pejawat awam dapat melaksanakan polisi yang ditetapkan.

“Sekiranya polisi gagal dilaksanakan, bolehkah kita menyalahkan segelintir kakitangannya?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap pegawai awam yang tidak menjalankan tugas mengikut polisi ketat, menunjukkan ketidakupayaan kerajaan menangani masalah tersebut.

Sejak PH memegang tampuk pimpinan sehingga melaksanakan polisi yang bertentangan dengan kehendak rakyat, Tan mempersoalkan di mana polisi yang disebabkan halangan dari pejawat awam.

Malah katanya, tindakan PH yang menyalahkan pihak lain demi melindungi kesalahan sendiri tanpa penganalisaan dan pengupasan kendiri, dianggap jijik dan sukar mendapat kepercayaan rakyat.

“Bila sahaja dibalas dengan kritikan buruk, kerajaan seringkali menyalahkan kerajaan dahulu, menyalahkan media, dan sekarang ini pula menyalahkan pejawat awam,” katanya.

Memetik laporan Malaysiakini sebelum ini, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan kini sedang berhadapan dengan cabaran ‘deep state’ atau ‘daulah terpendam’.

Dalam artikel itu, Lim menjelaskan dakwaan bahawa kewujudan ‘pasukan rahsia’ di pelbagai jabatan kerajaan yang berada di belakang isu melibatkan DAP baru-baru ini.

Antaranya, tuduhan terhadap pemimpin DAP dan dakwaan ahli parti itu terlibat dengan kumpulan militan Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), serta isu mengenai komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan: Meraih Manfaat Bersama’.