Malaysia Dateline

PRN-12: AMANAH Sarawak tetap bersedia bila-bila masa

Parti AMANAH Negara (AMANAH) Sarawak tetap bersedia pada bila-bila masa bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Setiausaha AMANAH negeri, Fadillah Sabali menegaskan, walaupun PRN hanya diadakan selepas darurat 60 hari seperti yang diisytiharkan sebelum ini, namun pihaknya tetap bersedia sebaik mungkin.

Katanya, dengan suhu politik yang semakin tidak menentu ketika ini di peringkat Persekutuan boleh mendatangkan segala kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Parlimen juga boleh berlaku.

“Pada dasarnya, kita memang sentiasa bersedia lebih-lebih lagi selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat tempoh 6 Jun lalu.

“Kita berpandangan bahawa kerajaan negeri akan membubarkan DUN sebaik berakhirnya darurat pada Februari tahun depan.

“Maka, saya yakin PRN-12 dijangka bakal diadakan sekitar Mac tahun depan, itu pun jika situasi pandemik Covid-19 mampu dikawal,” katanya di Kuching hari ini.

Fadillah menegaskan, semua bilik gerakan AMANAH Sarawak di seluruh negeri tetap beroperasi seperti biasa khususnya bagi menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Jelas beliau lagi, AMANAH Sarawak sentiasa fokus dalam melaksanakan aktiviti kebajikan bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang hampir dua tahun negara dilanda musibah Covid-19.

“Apa pun, yang pasti kita sentiasa bersedia bagi menghadapi PRN-12 yang dijangka diadakan tahun depan,” katanya.

Pada PRN-12 nanti, AMANAH Sarawak bakal bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.