Malaysia Dateline

PRN : Amirudin gesa jentera PH Selangor diaktifkan segera

Pakatan Harapan (PH) digesa mengaktifkan segera semua jentera di peringkat cabang dan daerah mengundi di Selangor sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata semua jentera boleh mula mengadakan perhimpunan untuk merangka program sebelum kerajaan kegeri membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara rasmi selewat-lewatnya Jun ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor itu berkata walaupun pembubaran DUN tidak dibuat dalam masa terdekat, gerak kerja jentera politik PH harus digerakkan segera bagi mengekalkan tampuk kepimpinan parti tersebut di negeri berkenaan.

“Esok (atau) lusa (kita) perlu mula rangka pasukan kita dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh kerana lawan kita adalah Perikatan Nasional (PN) yang berada dalam keadaan yang sangat terdesak disebabkan mereka tidak mempunyai landas pelancaran yang kukuh.

“Kalau mereka mempunyai landas pelancaran yang kukuh seperti di Selangor, desakan mereka terhadap Kerajaan Persekutuan lebih keras,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor hari ini.  

Beliau juga yakin PH mampu menang majoriti dua pertiga kerusi DUN jika semua jentera parti bekerja keras menggunakan formula terbaik untuk menentang PN dalam PRN kelak.

Kira-kira 1,500 ahli PKR dari seluruh Selangor hadir ke konvensyen itu.

— BERNAMA

Baca juga : Durian jadi pilihan pemain badminton China, tak kisah bau busuk asalkan sedap