Malaysia Dateline

PRN Johor: AMANAH, DAP guna logo PH, PKR guna logo sendiri

Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan bagaimanapun Parti Keadilan Rakyat akan menggunakan logonya sendiri di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Persetujuan itu telah dicapai dalam Mesyuarat Khas pada hari ini membincangkan khusus mengenai persediaan menghadapi pilihanraya Negeri Johor.

Dalam kenyataan bersama empat pimpinan Pakatan Harapan itu juga bersetuju memuktamadkan keputusan mengenai agihan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan AMANAH.

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (KEADILAN), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassam, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (AMANAH).

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihanraya Negeri Johor yang akan datang,” kata Pakatan Harapan.