Tidak kira parti apa pun, rakyat perlu bijak memilih berdasarkan latar belakang kepimpinanyang paling utama selain, calon yang bertanding itu dikenalpasti mempunyai rekod yang bersih, tidak terlibat jenayah, kluster mahkamah, apalagi rasuah.
Parti yang bertanding sewajarnya mendedahkan profil calon bagi meraih kepercayaan dan undi daripada rakyat. Barangkali, tidak cukup dengan meletakkan kerjaya atau pengajian terakhir, tetapi lebih lengkap daripada itu, penglibatan calon dalam apa-apa aktivitinya sebelum ini.
Ia adalah soal integriti. Yang perlu diketahui rakyat sebelum memilih, agar tiada penyesalan di kemudian hari. Bukan itu sahaja, rakyat perlu tahu sejauh mana kemampuan calon untuk berkhidmat dengan mengemukakan aset yang dimiliki.
Bayangkan seorang calon itu sebelum menjadi Yang Berkhidmat (YB) iaitu wakil rakyat, pabila ia menjadi YB, dengan tiba-tiba segala kemewahannya muncul. Dari manakah segala itu didapatkan?
Adalah lebih harmoni jika sedikit sebanyak mengenai itu diketahui ketika sebelum menjadi calon lagi. Jangan nanti, pabila sudah jadi YB, kekayaan secara drastik itu menjejaskan imej atau kreadibilitinya hingga terpalit dengan isu jenayah rasuah.
Apalagi, kepercayaan rakyat menjadi terhakis berikutan isu-isu yang timbul. Parti-parti yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Malaysian Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PIS), Democratic Action Party (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysian United Democratic Alliance (Muda), dan lainnya meletakkan calon-calon pada kerusi yang dipertandingkan, perlulah peka dan bijaksana bagi mengelakkan tercalarnya imej parti mereka dek kerana salah memilih calon. Retorik atau realiti
Masihkah kita ingat ikrar sebuah parti menjelang PRU-14 lalu?
Pada 6 Mei 2017 lalu, Barisan Nasional (BN) telah memberikan jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sebagaimana kata Setiausaha Agung parti itu pada waktu itu, Datuk Seri Tengku Adna Tengku Mansor;
“BN sudah menjadikan amalan memeriksa latar belakang calonnya sejak sekian lama dan tidak akan mengizinkan mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.”
Selain itu katanya, calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu jadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.
Maka, seharusnya pada setiap kali pilihanraya negeri (PRN) mahupun pilihanraya umum (PRU), dikuatkuasakan ‘piagam’ sebegitu. Adakah perjanjian sebegitu, dilaksanakan setiap kali menjelangnya pesta demokrasi negara
atau sekadar retorik?
Dalam pada itu, setiap parti politik perlu memahami segala kesalahan pilihan raya, khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mantan PM pun kata ‘Tolak Korupsi’?
Sebagaimana dilaporkan media Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin 7 Februari, berkata, rakyat Johor perlu bijak menilai dan tidak mengundi mereka yang terlibat dengan skandal dan rasuah.
“PRN adalah kesempatan untuk masyarakat Johor mengundi dan menolok untuk bersekutu dengan parti yang dipimpin oleh golongan tersebut. Kalau sudah dinyatakan pimpinan parti tersebut seperti Umno yang terlibat dengan rasuah atau pecah amanah, mereka bukan sahaja terpalit tetapi telah disabitkan bersalah dan jatuh hukuman.”
Maka, rakyat Johor perlu bertindak bijak dan rasional menolak calon mahupun parti yang jelas-jelas melakukan jenayah rasuah ini.
Selain itu, bagi mengelakkan berulangnya lagi tragedi lalu, pilihlah parti dan calon yang berusaha mengembalikan Malaysia ke arah yang lebih baik, bukan yang telah membuat onar apalagi menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui pilihanraya yang sah pada 2018 yang lalu.
Seperti di Johor, parti manakah yang menjatuhkan parti yang ‘berkuasa’ sebelum ini, hingg terbubarnya kerajaan negeri, dan terpaksa mengadakan PRN?
Kerana habuan menjadi ‘katak lompat’
Melihat kepada situasi lompat parti yang sering terjadi, calon-calon yang bertanding, juga hendaklah membuat aku janji terhadap parti yang diwakilinya. Jika tidak, perkara yang sama seperti Langkah Sheraton dan yang seumpamanya, tidak mustahil akan berulang lagi.
Dalam satu sisi rasional yang dapat dirumuskan, jika keadaan seperti itu terus dibiarkan, malapetaka yang menimpa ketika berlakunya wakil rakyat menjadi ‘katak lompat’ kepada parti yang lain, yang terjejas dan rugi adalah rakyat.
Apa tidaknya, rakyat memilih seseorang itu menjadi calon adalah untuk sesuatu parti itu, pabila dah jadi YB, melompat pula. Walaupun ada kemungkinan akan membuatkan berlakunya pilihanraya, atau tidak, ia adalah satu kerugian dan kekecewaan bagi rakyat.
Hakikat yang paling sadis untuk diterima ialah, jika wakil rakyat itu menerima sesuatu habuan hingga menyebabkan mereka sanggup lompat parti. Secara jelasnya, ia berkaitan tentang integriti juga prinsip.
Terdahulu, Kerajaan Kelantan pernah meluluskan pindaan Enekmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan anti lompat ini pada 25 April 1991. Akan tetapi, pada tahun 1992 undang-undang itu telah dicabar di mahkamah dan akhirnya diputuskan bahawa undang-undang itu tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan dan ia dibatalkan.
Pun begitu, selain Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang turut ada undang-undang ‘anti-lompat’ dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri mereka, namun ia tidak dapat dilaksanakanatas sebab yang sama dan antara alasan yang diberikan ialah dengan menghalang
seseorang wakil rakyat itu melompat parti maka ia menyekat hak kebebasan rakyat Malaysia untuk memilih parti yang diingininya. Dan perkara ini perlu diperincikan lebih mendalam lagi supaya ia tidak menjadi ‘tradisi’ dan menyusahkan banyak pihak terutamanya, rakyat.
Justeru, kaedah terbaik dan sewajarnya yang perlu setiap parti lakukan adalah perjanjian, janji setia terhadap parti yang diwakili mereka semasa pilihanraya serta tindakan-tindakan yang dikenakan jika berlakunya keadaan demikian.
Hapuskan jenayah besar ini
Hakikatnya, jika golongan terbabit rasuah dipilih sebagai pemimpin, tentunya negara akan tergugat dan menyebabkan kerosakan yang sangat dasyat. Implikasinya bukan sahaja kepada negara, tetapi rakyat yang terkena badai buruknya.
Tidak terkecuali, para pengundi hendaklah menyedari dan peka dengan konsep jenayah rasuah ini. Mereka perlu berhenti mengharapkan atau menerima wang daripada calon yang bertanding, di samping calon itu sendiri perlu menokhtahkan perbuatan memberi duit bagi meraih atau menawan hati pengundi.
Rakyat perlulah tegas bersama-sama memutuskan rantaian budaya rasuah ini daripada terus berleluasa sebagaimana yang diperjuangkan Pasukan Rasuah Busters.
‘Bersama realisasikan kepimpinan negara berkompetensi dan berintegriti.’
ATRIZA UMAR
Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)