Malaysia Dateline

PRN Johor: Chin Tong, dan Marina Ibrahim antara 14 calon DAP

DAP hari ini memperkenalkan kesemua 14 calon yang akan bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, dan Marina Ibrahim, masing-masing diumumkan sebagai calon di Perling dan Skudai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berpuas hati dengan barisan calon parti itu yang melalui banyak tapisan dan libat urus, serta diyakini mampu memberi kejayaan buat parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita telah lalui pelbagai tapisan, libat urus dan banyak perjumpaan. Proses yang agak sukar dan sulit tapi akhirnya kita capai muafakat seberapa yang boleh. Yang tidak dipilih akan rasa kekurangan, itu biasa.

“Yang penting, akhirnya kita dapat bersatu untuk pastikan calon kita menang, kerana akhirnya, bukan individu yang bertanding.

“Simbol dan logo DAP dan PH bertanding, itu yang kena menang,” katanya selepas pengumuman itu di Johor Bahru.

DAP sebelum ini mengumumkan 12 calon daripada parti itu yang akan bertanding atas tiket PH iaitu di kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Bekok, Bentayan, Pekan Nanas, Senai, Yong Peng dan Jementah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 8 Mac.