Malaysia Dateline

PRN Johor detik dakap harapan baharu, tolak mimpi ngeri

Saya telah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya umum sejak 2008. Tetapi inilah kali pertama saya bertanding di kerusi Dewan Negeri (Perling), atas arahan pucuk pimpinan parti.

Kepimpinan DAP berpandangan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan kepada pengundi bahawa kami sudah bersedia untuk kembali menerajui kerajaan negeri Johor.

Walaupun sebelum ini saya hanya bertanding kerusi Parlimen, saya pernah melibatkan diri dalam pentadbiran negeri.

Apabila saya menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera (2008-2013), saya telah berkhidmat sebagai Penasihat Dasar kepada (mantan) Ketua Menteri Pulau Pinang Sdr Lim Guan Eng sewaktu beliau memegang jawatan tersebut. Saya turut memimpin Penang Institute yang merupakan badan pemikir dasar (think tank) untuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pengalaman yang saya perolehi dalam bidang pengurusan warisan, perancangan bandar dan pengangkutan awam, memang amat sesuai untuk pembangunan serta kemajuan kawasan Perling dan sekitar Johor Bahru, termasuk wilayah Iskandar Malaysia.

Sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen Kluang (2013-2018), walaupun sebagai pembangkang, saya bersama pasukan saya serta sukarelawan telah melaksanakan pelbagai aktiviti pembinaan komuniti yang berjaya menghidupkan semula semangat dan dinamisme pekan-pekan kecil di Johor.

Sejak mula menjadi wakil rakyat, saya telah mengemukakan pelbagai cadangan dan idea untuk transformasi ekonomi Malaysia, termasuk Johor.

PRN Johor Liew Chin Tong Pakatan Harapan

Mengapa Pakatan Harapan?

  1. Undi untuk Pakatan Harapan ialah undi untuk mengukuhkan kembali perjuangan kita bahawa Bangsa Johor dan rakyat Malaysia memerlukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
  2. Undi untuk Pakatan Harapan ialah undi bagi menolak sistem korup yang hanya mengutamakan segelintir golongan elit dengan mengetepikan keperluan rakyat terbanyak.

Ada yang menganggap bahawa korupsi merupakan jenayah yang tiada mangsa. Anggapan ini salah kerana rasuah dan salah guna kuasa menyebabkan ramai golongan muda dipinggirkan kerana tidak mendapat peluang.

Seorang anak muda yang mahu memulakan perniagaan kecil pun terpaksa berhadapan dengan korupsi di peringkat akar umbi. Ini bermakna kos untuk menjalankan perniagaan bertambah akibat najis korupsi. Dan rasuah menjalar hingga ke peringkat kepimpinan tertinggi.

Kerana itulah ramai rakyat Malaysia putus harapan dan kecewa, terutamanya majoriti warga Bangsa Johor. Ramai anak muda kita yang bijak pandai terpaksa berhijrah ke Singapura dan tempat-tempat lain kerana tidak banyak peluang untuk mereka di Johor.

  1. Undi untuk Pakatan Harapan ialah undi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang prihatin dengan setiap warga Bangsa Johor, dan sebuah pentadbiran yang tidak mengamalkan diskriminasi atas perbezaan kaum dan agama.

Cara kita beribadat memang berbeza tetapi hampir semua orang berdoa untuk memperolehi kebaikan yang sama. Kita berdoa untuk kesihatan yang baik serta kehidupan yang lebih sejahtera. Kita berdoa agar keluarga kita cukup makan.

Kita mahu keamanan dan perlindungan keselamatan. Kita mahu pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih munasabah. Kita mahu persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan adil.

Kita mahu perumahan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam yang lebih baik. Kita mahu akses kepada air bersih dan alam sekitar yang tidak dicemari. Kita mahu kepada pendidikan yang lebih bermutu untuk generasi akan datang.

Aspirasi kita sama, matlamat kita juga sama. Bangsa Johor adalah bangsa yang bersatu padu. Kepelbagaian kita adalah aset Bangsa Johor – kerana itulah Bangsa Johor patut menjadi teladan buat Bangsa Malaysia.

Marilah kita jadikan pilihan raya Johor ini sebagai momen bersejarah untuk negara kita. Di sinilah kita menolak mimpi ngeri yang lama dan mendakap harapan baharu, tanpa mengira betapa sukarnya kembara kita untuk mencapai matlamat yang murni itu.

Pilihan raya Johor merupakan peluang bagi kita semua membuat pilihan untuk Malaysia yang lebih baik. Dan harapan baharu ini bermula di Johor.