Malaysia Dateline

PRN Johor: Kesatuan pembangkang harapan buat rakyat

Gelora Umno

Angin bertiup kencang di Johor pada 2, 3 minggu ini setelah mantan Menteri Besar Johor, Allahyarham Dato Osman Sapian meninggal dunia. Angin yang bertiup sejak langkah sheraton terlaksana itu membadai Johor lebih kuat apabila kerusi Dewan Undangan Negeri kerajaan dan pembangkang hanya dibezakan 1 kerusi sahaja. Meskipun kerajaan dan PH saling berpadu kerjasama bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diatasi di Johor, namun Umno sebagai parti utama dalam kerajaan Johor tetap membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor 22 Januari yang lalu.

Jelaslah disini bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor bukanlah atas percaturan antara kerajaan dan pembangkang, tetapi ia adalah percaturan antara pemimpin UMNO sendiri yang saling berlumba untuk memastikan mereka kekal relevan menuju Pilihan Raya Umum akan datang. Agak sinis apabila Umno menyatakan bahawa Pilihan Raya Johor diadakan bagi mewujudkan kestabilan politik di sana sedangkan disaat dewan belum terbubar tidak ada apa-apa konflik politik yang berlaku, malah PH sebagai pembangkang di Johor telah menyatakan ikrarnya untuk bersama kerajaan dalam isu menangani permasalahan rakyat. Maka apa yang Umno hendakkan? Buat dasar untuk mengianaya rakyat yang menyebabkan PH tidak menyokong? Atau UMNO hanya mahukan kuasa penuh tanpa pertolongan PH agar semak imbang di Johor terbantut?

Pengajaran PH di Melaka

Apa-apa pun Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Suhaizan Kayat telah pun menerima surat pengisytiharan pembubaran dewan, maka Pilihan Raya akan tetap berlaku. Kini masa untuk PH khususnya bertindak dengan penuh strategik dan teratur untuk memastikan apa-apapun yang berlaku selepas ini memberi kesan positif kepada rakyat. Pastinya memenangi Pilihan Raya Negeri adalah matlamat utama PH sama seperti matlamat mereka di PRN Melaka dan Sarawak. Tetapi yang harus dipertimbangkan adalah mengambil pengajaran penuh daripada kekalahan di Melaka.

Hakikatnya, meskipun PH masuk sebagai satu pakatan dalam Pilihan Raya di Melaka, namun iai gagal menterjemahkan kemaraan sebagai satu pasukan untuk merempuh BN dan PN. Banyak pihak telah mengemukan kritikan ini selepas sahaja PRN Melaka berakhir, tetapi penulis mahu mengemukakan semula agar pengajaran diambil untuk membentuk jentara PRN di Johor. Masing-masing bergerak dengan jentera Pilihan Raya masing-masing dengan formula masing-masing. Tiada penyelarasan daripada gerak kerja jentera antara parti. Ia amat mengecewakan para penyokong PH. Hanya beberapa pimpin PH sahaja yang turun menyantuni pengundi di kawasan yang bukan partinya bertanding. Yang lain hanya menumpukan kepada periuk nasi masing-masing.

Tambah resah adalah warna apa yang nak digelombangkan dalam PRN Melaka? Putih ke Merah? Jika dulu jika dulu kita ada slogan ‘Pilih Biru Yang Lebih Muda’ tetapi kenapa sekarang kita tidak menamakan satu warna sebagai aspek pemasaran yang paling asas mempengaruhi pengundi? Adakah wujudnya parti yang tidak mahu meredai penggunaan logo PH dalam PRN Melaka menyebabkan propaganda warna dan logo tidak diperluaskan?

Pertahanan PH di Johor

PH punya kelebihan di Johor memandangkan ramai bintang politik pembangkang berada di sana. Paling digeruni adalah ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang antara sosok yang sukar dicabar walau beliau bertanding dimana-mana kerusi pun. Dengan kedudukannya sebagai ahli parlimen, ia mampu mempengaruhi pengundi disana untuk menyokong PH. Selain itu, bintang baru yang bersinar seperti Dr. Maszlee Malik menjadi ikon pendidikan wajar diberikan peranan sama mengatur strategi kempen di Johor. Walaupun baru menyertai politik, bimbingan daripada tokoh-tokoh lama suda memadai. Seterusnya, adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan, yang dikatakan mirip gerak politik Rafizi Ramli juga harus diberikan tempat dalam jawatankuasa jentera dan ruang diberikan memandangkan ia mewakili suara anak muda dalam PKR.

Daripada AMANAH pula bukan calang-calang tokoh berada di Johor, ia adalam Timbalan Presiden AMANAH itu sendiri, Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub. Begitu alam Datuk Salahuddin bekerja untuk menembusi kawasan Johor itu, pastinya pengaruh beliau mampu membantu PH menawan Johor. Tambahan beliau sebagai mantan Menteri Pertanian, ada kekuatan yang boleh dijadikan bahan propaganda dalam PRN ini. Penulis berpandangan, Saudara Mazlan Aliman yang juga mantan Jawatankuasa Pimpinan (JKP) AMANAH Nasional ditarik semula untuk bekerja bersam pasukan PH. Beliau yang memimpin NGO besar menegur dan memantau perjalanana FELDA dan isu perladangan boleh membantu mendapatkan undi di kawasan FELDA.

Naratif PH harus sedikit anjakan dengan memastikan tema melayu bumiputera tidak dikesampingkan dalam kempen PRN kali ini. Walaupun PH mengamalkan budaya politik sederhana, progresif dan demokratik, tetapi jangan sampai istilah atau isu melayu Islam itu tidak langsung disentuh. Menyentuh isu melayu Islam tanpa memainkan isu perkauman adalah kaedah yang perlu dimainkan oleh PH dalam politik. Biar ‘Agenda Perkasa Melayu Bumiputera, Kemakmuran Saksama’ menjadi naratif kempen kali ini.

Posisi Muda dan Pejuang Johor

Di Johor peranan parti Muda dan Pejuang tidak boleh dikesampingkan memandangkan masing-masing mempunyai seorang ahli parlimen disana. Di Muar, Presiden Muar sendiri menjadi ahli parlimennya, manakala di Sri Gading, Bendahari Pejuang memimpin. Nama-nama besar dalam kepimpinan MUDA dan PEJUANG mampu mempengaruhi undi kelak. Oleh itu, wajar jika kesemua mereka bersama – sama dalam satu pakatan strategik menghadapi PRN Johor. Penyokong PH kena terima, PH memerlukan Muda dan Pejuang untuk memaksimakan kekuatan merempuh BN dan PN. Manakala penyokong MUDA dan PEJUANG juga perlu terima hakikat bahawa mereka juga memerlukan PH jika niat mereka mahu menumbangkan BN dan PN berjaya. Jika niat hanya mahu menjatuhkan BN dan PN tetapi tidak mahu bersama dalam kesatuan pembangkang, maka ia niat tanpa usaha semata-mata.

Kenyataan Pengerusi PH, Dato Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan PH mahu bersama-sama dengan pembangkang dan NGO untuk memasuki PRN Johor sebagai satu salam permulaan kepada perbincangan yang lebih lanjut antara mereka. Jika sebelum ini PH sudah bereksperimen dengan berpadu bersama tiga parti sahaja, kali ini boleh dicuba bersama kesemua parti-parti pembangkang dan melihat hasilnya. Penyokong Dato Seri Anwar Ibrahim jangan gusar, eksperimen ini tidak akan menggugurkan nama Dato Seri selaku calon PM daripada PH. Malah hasil PRN kali ini boleh menjadi bahan untuk menyusun gerak kerja PRU akan datang.

Bergerak seiringan PH-Pembangkang

Menamakan seorang calon Menteri Besar dan diangkat sebagai poster boy perlu dinamakan sebelum PRN bermula. Walaupun ia akan mewujudkan pertikaian dalaman, ia tanggungjawab parti menguruskannya. Lebih penting, menamakan seorang calon MB akan memberikan keyakinan kepada pengundi selain gerak kerja pakatan secara berpasukan. Kedua selesaikan agihan kerusi dan calon yang bertanding lebih awal, tidak ada perubahan saat-saat akhir pertukaran calon yang boleh mengganggu gugat kesepaduan jentera parti, PH dan pembangkang. Bergeraklah sebagai satu pasukan yang jitu atas satu warna, jika merah pilihannya, bergeraklah sebagai pasukan merah tidak ada warna lain selain merah. Fokus pada kemenangan adalah separuh daripada kemenangan telah kita peroleh. Bak kata Seniman Jalil Hamid dalam filem Baginda tayangan 1997.

Kita akui jentera kita ramai hadir ke Melaka, tetapi tidak seleras, ramai di satu tempat, lompong disatu tempat. Bayangkan untuk 1 DUN hanya 3,4 orang sahaja menjadi petugas yang membuat culaan kepada pengundi secara talian, sebaliknya yang berkerja di lapangan secara fizikal melimpah ruah. Sebab itu agihan tugas agar semua aspek diisi dengan sehabisnya. Jawatankuasa khas yang diwujudkan dalam PH juga perlu diberi tanggungjawab mengatur bahan kempen berkaitan isu nasional. Contohnya, Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) boleh menyediakan bahan kempen berkaitan kecurangan dan kelembapan kerajaan menguruskan sistem pendidikan negara. sekurang-kurangnya ia membantu dengan penyelarasan. Jangan kata isu nasional tidak berguna dalam PRN, segala isu selagi tidak mudarat bangkitkanlah.

Menawan Johor, memimpin pemulihan negara

Akhirnya terbukti bahawa PH dan pembangkang perlu bekerjasama dalam PRN kali ini. Ia adalah rayuan dan pujukan ikhlas daripada mereka yang jelek dengan politik UMNO serta pengkhianatan PN. Rakyat pula perlu tahu bahawa PRN kali ini menentukan kedudukan BN dan PN dalam kerajaan. Rakyat harus mengundi PH –Pembangkang dalam PRN kali ini sebagai amaran dan protes rakyat kepada kegagalan BN dan PN. Jika PH-Pembangkang menang di Johor, percayalah BN dan PN tak akan melakukan sesuka hati mereka sehingga memudaratkan negara.

Ia juga adalah peluang keemasan kepada rakyat untuk merasai kembali reformasi yang dilakukan oleh PH dalam tempoh 22 bulan tapi terbantut akibat langkah sheraton. Wajar rakyat memberikan peranan kepada PH dan pembangkang bagi menangani pandemik Covid-19 secara total atas peranan mereka sebagai kerajaan Negeri. Lihat keampuhan kerajaan Selangor dibawah PH berjaya mengawal pandemik di sana. Ayuh kita teruskan di Johor. Buat pemimpin pembangkang.