Malaysia Dateline

PRN Johor: MUDA perlu berani hadap semua rintangan, jangan hanya tumpu kerusi selamat

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) disaran supaya berani untuk bertanding di mana-mana kawasan tanpa memilih hanya tempat yang dilihat selamat semata-mata.

Menurut Ketua Penerangan PKR Cabang Gerik, Muhd Amrun Hafifi Md Yunus, MUDA harus mewakili suara rakyat di semua kawasan dan tidak hanya memberi tumpuan kawasan bandar sahaja.

“Sekiranya MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, mereka harus membuktikan bahawa mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar belakang masyarakat khususnya dalam bandar dan juga luar bandar.

“Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu yang melebihi 78 peratus dan apakah mereka bimbang akan ditolak oleh pengundi Melayu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor?

“Sebagai contoh DUN Sri Medan adalah antara 20 kerusi dengan majoriti pengundi Melayu yang akan ditandingi oleh PKR dengan komposisi pengundi Melayu sebanyak 90.6 peratus, Cina seramai 8.6 peratus dan pengundi India sebanyak 0.3 peratus,” ujar beliau ketika dihubungi.

PRN Johor: MUDA perlu berani hadap semua rintangan, jangan hanya tumpu kerusi selamat
Ketua Penerangan PKR Cabang Gerik, Muhd Amrun Hafifi Md Yunus

Malah katanya lagi, sebagai sebuah parti politik baru, MUDA harus berani menghadapi semua rintangan dan halangan termasuklah dalam pemilihan kawasan DUN yang akan ditandingi dalam PRN Johor kali ini serta harus mengimbangi keperluan dalam komponen Pakatan Harapan.