Malaysia Dateline

PRN Johor: Pelancaran jentera PH, Muda petang ini

Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijadualkan akan berlangsung jam 2 petang ini.

Pelancaran sekali gus pengumuman kerjasama rasmi bakal menyaksikan kehadiran empat ketua parti iaitu PKR, AMANAH, DAP dan Muda di Dewan Kencanapuri di Pulai Spring Resort.

‘Johor Bangkit Maju Bermaruah’ dipilih sebagai tema pelancaran bagi gabungan kerjasama keempat-empat parti terbabit dalam mendepani PRN Johor.

Sebelum ini, Muda diperuntukkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai hasil rundingan bersama antara parti itu, AMANAH dan DAP Johor.

Setakat semalam, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata agihan kerusi antara PKR dan Muda memasuki fasa terakhir sebelum dimuktamadkan.

Menurutnya, kedua-dua parti itu hampir menemui titik persetujuan berhubung agihan tiga kerusi yang akan ditandingi Muda pada PRN Johor nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.