Malaysia Dateline

PRN Johor: Pembangkang gagal bersatu, Umno jangan terlebih meloncat

Penyokong Umno sungguh teruja dengan kemenangan bergaya mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Kemenangan itu ditafsirkan kejayaan Umno-BN dalam proses untuk mengembalikan semula hegemoni dimiliknya sebelum ini.

Rentetan itu para penyokong mendesak agar Parlimen dibubarkan. Laungan “bubar Parlimen” bergema bersahutan ketika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masuk ke dewan tempat pengisytiharan Umno sahih berkuasa semula sepenuhnya di Johor. Laungan itu suatu mesej buat PM itu.

Naluri dan ilham yang mahukan Parlimen dibubar datang daripada pemimpin Umno yang kehilangan kuasa dan tangan kosong kini, tanpa jabatan.

Mereka mahu segera Parlimen dibubarkan dengan keyakinan Umno akan berkuasa sepenuhnya jika diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan itu mereka akan kembali ke tampuk kuasa.

Ismail Sabri tentu tidak senang dengan desakan itu kerana beliau insaf akan usia politik dan kedudukan sebagai Perdana Menteri akan hilang nanti.

Jika Parlimen dibubarkan maka berakhirlah kedudukan sebagai PM. Apakah beliau gunakan keistimewaannya untuk menghadap Yang dipertuan Agong untuk minta parlimen dibubarkan?

Rasanya tidak perlu Ismail Sabri terpanggil dengan desakan itu. Tugasnya terus memimpin kerajaan yang tempohnya tersisa kira setahun lagi.

PRN Johor: Pembangkang gagal bersatu, Umno jangan terlebih meloncat
Umno ibarat rumah yang masih ada atap yang bocor dan tiang yang senget.

Beliau perlu berani mengambil pendirian meredakan gelora politik negara. Dan Umno juga tidak perlu ghairah agar Parlimen dibubarkan kerana kemenangan di Johor itu bukan indikator segala-galanya.

Sebenarnya, masih banyak lagi yang Umno perlu lakukan, perkemaskan kedudukannya. Ibarat rumah masih ada atap yang bocor dan tiang yang senget serta tongkat yang patah.

Umno rumah pusaka yang sudah usang. Kendati nilai sejarahnya tinggi tetapi keluhurannya sudah meluntur.

Perkara pokok yang Umno perlu fikirkan, menyudahkan dahulu masalah dihadapi bekas Presiden dan Presiden, Najib Razak dan Zahid Hamidi.

Tanpa menyelesaikan masalah mereka tidak ada guna Umno berkuasa kerana dengan ada mereka Umno dilihat tidak berintegriti. Usah rosak dan cemarkan nilai politik kita. Sesiapa yang korup tidak perlu diberikan pisau senjata.

Sesiapa memerintah setiap mereka yang dituduh rasuah dan melakukan penyelewengan, salah guna kuasa atau apa juga kebejatan perlu dituntasi dahulu. Mereka baru boleh kembali selepas proses mengadilinya selesai yang dilaksanakan dengan telus dan adil.

Bukan bermakna kemenangan di Johor memberi gambaran Umno menang di seluruh Malaysia. Punca kemenangan di Johor kerana pembangkang gagal bersatu. Itu faktor utama dan nyata.

Dan persoalannya, apakah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang pembangkang akan terus berpecah dan memencil diri mengikut nafsu nafsi sendiri untuk beri kemenangan percuma kepada Umno-BN?

Tidak mustahil dengan mengambil pengajaran getir di Melaka dan Johor itu pembangkang akan bersatu semula. Sejarah kejayaan dalam PRU-14 seharusnya perlu dikenang dan tetap menjadi aspirasi.

PRN Melaka dan Johor itu akan menjadi biduk yang menautkan kiambang buat pembangkang. Ia bukan suatu tragedi tetapi sebuah pengajaran maha penting.

Makanya, Umno jangan terlebih meloncat sangat dengan kemenangan itu. Kekalahan Umno dalam PRU-14 lalu tetap menjadi sejarah yang telah mencalarkan parti berkenaan. Kitab sejarah telah mencatat Umno pernah tewas.