Malaysia Dateline

PRN Johor: Persaingan memilih kerajaan utamakan rakyat, kata Chin Tong

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dianggap sebagai satu pertandingan ‘kerajaan lawan kerajaan’ bagi rakyat memilih manakah kerajaan terbaik yang akan sentiasa mengutamakan mereka.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, jika ditanya mengapa rakyat perlu mengundi PRN Johor ini, jawapannya ialah demi mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan untuk menyambung serta meneruskan khidmat dan jasa bakti.

Menurutnya, dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH, akar umbi dan anak muda Johor telah diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Contohnya dilantik sebagai ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, di mana kesungguhan mereka untuk belajar, berusaha dan berbakti kepada rakyat telah terbukti

“Undi anda adalah untuk keseluruhan pasukan pentadbir, bukan sahaja bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi juga untuk melantik ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat yang jujur, gigih dan prihatin di peringkat akar umbi demi kemajuan serta kesejahteraan Bangsa Johor.

“PRN Johor adalah persaingan antara kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan BN/PN. Ia adalah pertandingan “kerajaan lawan kerajaan” untuk memilih kerajaan terbaik,” katanya dalam satu catatan ringkas hari ini.

Terdahulu, DUN Johor telah mendapat perkenan Sultan Johor untuk dibubarkan sekaligus memberi laluan agar pilihanraya diadakan dalam tempoh terdekat.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas selepas pendaftaran automatik Undi18.

Ini menjadikan jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

PRN Johor merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.