Malaysia Dateline

PRN Johor: Rakyat jangan sokong perompak dan pengkhianat

Seperti tulisan penulis terdahulu, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disemarakkan dengan kempen berunsur hipokrit; perkauman dan penggunaan naratif agama yang sempit.

Namun, selepas beberapa hari kempen dimulakan, nampaknya calon-calon terutama dari kalangan BN/Umno telah mengetengahkan kempen “tanpa isi” data dan fakta, yang hanya bertujuan untk membunuh karektor pesaing.

Jauh dari mengemukakan agenda terbaik untuk rakyat dan malah jauh dari mengemukakan fakta dan data yang benar lagi sahih untuk kesejahteraan rakyat.

Pelbagai aktiviti dilakukan kononnya untuk bersama rakyat, menambat hati rakyat, mesra kepada rakyat dan sebagainya.

Maka buatlah aktiviti senamrobik kononnya supaya masyarakat sihat dan bersama anak muda sedangkan pimpinan ini tidak pernah pun selama lima tahun sebelum ini datang ke ceruk kampung untuk menyantuni rakyat, hatta nak bersenam bersama rakyat dan kadangkala jijik untuk bersalaman dengan penoreh getah dan pengait kelapa sawit?

Tapi apakah agenda dan mesej besar kepada rakyat? Kemudian bagi membunuh karakter pihak pesaing, sebagai contoh calon BN DUN Endau berkempen dengan menyatakan PH, PN, Pejuang tandus ikon calon MB Johor? Benarkan?

Sedangkan calon BN itu sendiri langsung tidak dikenali sebagai tokoh untuk menjadi ADUN mewakili DUN Endau! Kempennya meuar-uarkan bahawa BN mempunyai tokoh berkredibiliti.

Kredibiliti dari segi apa? Pengalaman meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat melalui pengkhianatan? Sanggupkah tokoh ikon MB di pihak BN menyatakan bahawa benar DS Najib telah didapati bersalah oleh dua mahkamah tertinggi negara; Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan?

Yang paling penulis tidak faham adalah kempen tidak mahu rakyat ditipu kali kedua? Apakah penipuan tersebut?

PRN Johor: Rakyat jangan sokong perompak dan pengkhianat.
Seramai 756,000 pengundi baharu dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

Tidakkah penipuan dangan janji untuk melaksanakan hudud dan membentangkan kembali RUU Kanun Jenayah Syariah oleh komponen dalam kerajaan Pusat yang turut diwakili oleh Umno/BN bukan penipuan tahap tertinggi.

Keluar pula kempen yang menyatakan rakyat sudah terbiasa ditadbir oleh BN yang mempunyai rekod cemerlang.

Adakah satu kecemerlangan dengan sebuah skandal terbesar dunia seperti 1MDB yang melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan terdahulu satu kecemerlangan melainkan satu kemusnahan kepada negara.

Projek-projek mega, projek gajah putih, kes-kes pembelian Kementerian Pertahanan ketika ditadbir oleh BN masih lagi belum terjawab.

Kini tersebar di peringkat antarabngsan oleh bekas pengamal bank Leissner dan Roger Ng yang membuat pengakuan dalam mahkamah Brooklyn, New York yang mengakui menerima sogokan melalui orang tengah warga Malaysia bernama Jho Low kerana membantu menggelapkan dana yang dikumpul Goldman Sachs untuk 1MDB menerusi penjualan tiga bon. Beranikah tokoh Ikon MB Johor dari BN mendedahkan sama perkara ini kepada khalayak ramai?

Ketua Pemuda Umno merangkap Pengerusi Pemuda BN pula meletakkan tagline pilihlah parti yang boleh membentuk kerajaan stabil?

Siapa yang telah meruntuhkan sebuah kerajaan yang baru bermula dengan perlbagai dakyah dan naratif palsu semata-mata untuk mengambil-alih.

Bukankan BN bersama Pas dan disertai para pengkhianat meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat dalam PRU-14 yang turut menyaksikan runtuh sama beberapa kerajaan negeri. Adakah rakyat masih mahu tertipu dengan alasan kononya untuk membina kerajaan stabil!

Sesungguhnya ketidakstabilan itu dihasilkan oleh agenda Umno/BN bersama sekutunya dan para pengkhianat semata-mata untuk berkuasa, kerakusan terhadap projek dan habuan-habuan sebagai penguasa.

Rakyat sebenarnya tertipu, sedang ditipu dan jika memlilih juga BN/PN maka kita akan saksikan penipuan terus-terusan. Bahkan bukan kemajuan, kesaksamaan dan kemakmuran yang mahu dibina tetapi kezaliman, keruntuhkan dan kehancuran ekonomi pada masa akan datang. Yang akan terus menderita adalah rakyat.

Naratif, ratib-ratib palsu dan sesat ini sebenarnya akan menjahanamkan negara ini. Gula-gula yang dijanjikan sebenarnya adalah racun yang akan membunuh kemakmuran dan mahu menjadikan rakyat dungu, beku otak dan lesu fikiran.

Emas, intan berlian dan permata yang dijanjikan bukan untuk dikongsi bersama rakyat tetapi lebih untuk mengkayakan pemimpin, menambahkan kelahapan dan haloba mereka kepada kuasa serta habuan dan percayalah rakyat akan berada di kedudukan paling terhina.

Maka berfikirlah dengan akal yang cerah, dada yang lapang, dapatkan maklumat sebenar , jangan mendengar sepihak, atau meneguk segala-gala yang diberikan menerka tanpa mengira racun atau manisan.

Jangan terpengaruh dengan aktiviti bermain bola jaring atau senamrobik dengan Puteri-puteri berjaket merah jambu semata-mata. Sekali selepas pilihan raya mereka akan menghilang lari dengan bola jaring dan tarian senamrobik mereka.

Tuan-tuan, Puan-puan dan adik-adik akan ditinggal dan lima tahun lagi baru mereka akan muncul dengan senamrobik versi baharu dan menganjurkan kembali pertandingan bola jaring. Lihat ke hadapan untuk anak cucu dan anak bangsa Malaysa tercinta!

Memang benar mereka tidak menjanjikan bulan dan bintang. Kerana bulan dan bintang tidak akan dapat kita miliki kerana ia berada di atmosfera lain.

Janji mereka hanya asalkan mereka memerintah dan boleh mengaut segala khazanah negeri demi untuk kroni dan tembolok rakus mereka.

Rakyat akan hanya mendapat daging mentah yang telah busuk dan pakaian usang dari ‘bundle’, makan berlaukkan kangkung, naik motor kapcai yang perlu di ‘start’ 10 kali baru hidup di ladang sawit dan getah.

Menteri-menteri, Exco dan pemimpin utama bermewah-mewahan dengan steak-wagyu dan kenderaan Vellfire silih-berganti. Sedarlah masyarakat Malaysia tercinta! Jangan biarkan mereka terus-terusan menipu, membohongi dan mengaburi mata kita.

Kita bukan mahu menidakkan kenyataan YB Mantan Perdana Menteri TS Mahiaddin bahawa rakyat mengerumuni mantan PM DS Najib Razak kerana mahu melihat muka perompak.

Namun, kita kena sedar juga bahawa rakyat mengerumuni program mantan PM TS Mahiaddin adalah untuk melihat muka pengkhianat.

Sama ada perompak mahupun pengkhianat, kedua-dua pihak tidak harus diberikan sebarang sokongan. Sama ada perompak atau pengkhianat adalah dua sosok utama yang melakukan kesalahan besar yang menjadi punca utama ketidakstabilan politik tanah air.

Cukuplah dengan kempen hipokrit dan dengan cara memadamkan citra rakyat, menggelapkan fakta dan data.

Cukuplah membohongi masyarakat desa dengan mendewa-dewa penjenayah, perompak dan pengkhianat semata untuk meraih undi.

Sajikanlah kepada rakyat kempen sihat, membina minda, mengasah citra yang tajam dan hidangan yang terbaik halal lagi bersih kepada rakyat.

Jangan menipu rakyat dengan program berbasikal, senamrobik, pertandingan bola jaring dan pertandingan memancing tetapi bina rakyat supaya berfikir dengan mengemukakan maklumat benar lagi sahih tanpa kita membunuh karakter tetapi mengizinkan rakyat memilih dengan panduan akal yang sihat dan kematangan berpolitik.

Cukuplah Umno/BN mahupun PN atau malah dalam kalangan pembangkang sekalipun dengan kempen hipokrit, politik berfikiran dungu dan hujah yang cetek lagi tempang.

Untuk rakyat lihatlah sajian maklumat yang betul, tapis dan jangan melihat serban dan jubah meleret semata-mata sedangkan lidahnya lembut untuk mem’binatang’kan pesaingnya.

Telah puluhan tahun rakyat ditipu dan dizalimi. Renungklah kata-kata Buya HAMKA “Pemerintah yang berlaku zalim, adalah pemerintah terkutuk. Pemerintah demikian mesti jatuh” (Negara Islam, HAMKA, hlm. 87).

Beliau menulis lagi “Jika raja-raja, pegawai-pegawai melakukan kezaliman, maka dunia akhirat, akan hidup kegelapan. Negara tiada ada suluh, tidak tentu ke mana haluannya”.

Marilah kita baiki negara dan mencari suluh yang akan menerangi jalan kesejahteraan sebenar negara ini. Gunakan undi anda dengan berfikir dan untuk masa hadapan yang lebih baik, adil dan berintegriti.

*Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tidada kaitan dengan pendirian akademi.