Malaysia Dateline

PRN Johor: Rina mahu jentera wanita PN ambil roh Perang Badar lawan BN

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun meminta jentera wanita PN perlu mengambil roh dan semangat perang Badar dalam berdepan jentera Wanita Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih ramai dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, walaupun bilangan jentera Wanita PN dijangka jauh lebih kecil berbanding jentera Wanita BN, itu bukan ukuran atau penghalang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

“Jadikan peristiwa Perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman. Seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata, tempoh 30 hari berikut cukup getir untuk Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu BERSATU, PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menghadiahkan kemenangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita PN Negeri Johor di sini malam tadi.

Hadir merasmikan majlis Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PN untuk PRN Johor.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, semua jentera wanita daripada tiga parti komponen PN perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, wanita PN perlu membuang imej lemah, sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi dan bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.

“Wanita PN kena bagi tahu suami, anak dan keluarga tempoh sebulan ini, mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti,” katanya.