Malaysia Dateline

PRN Melaka: 1000 kali kalah pun ahli Pas tetap rasa bangga

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan Pas telah tewas di semua kerusi, bagaimanapun bagi Ulama Pas kekalahan itu tetap mengundang rasa bangga dalam kalangan ahli-ahli Pas.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, walaupun Pas kalah 1000 kali dalam pilihan raya ahli Pas tetap akan berasa bangga bersama Pas selagi parti itu membawa risalah kebenaran.

“Saya nak beritahu walau 1000 kali kalah selagi Pas membawa risalah kebenaran dan dasarnya Islam selagi itulah kami ahli Pas tetap merasa bangga bersama Pas. Ada kami kesah dengan sindiran kamu?” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata demikian bagi menjawab sindiran dan tohmahan berikutan kekalahan teruk dan gagal mendapat undi Melayu Islam di PRN Melaka baru-baru ini.

Mokhtar turut berkongsi surah Al Imran ayat 139 yang bermaksud “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.

“Kamu mampukah membuang ayat ini dari menjadi keyakinan kami?” soal beliau.

Sabtu lalu, Pas tewas di semua lapan kerusi ditandingi dalam PRN Melaka sekali gus mengulangi kekalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Misi parti itu yang menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dan menumpang populariti ‘Abah’ atau Pengerusi PN, Tan Sri Muhiaddin Yassin tidak berhasil.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek juga tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.