Malaysia Dateline

PRN Melaka: 11 calon dari PKR, 9 AMANAH, 8 DAP

Pakatan Harapan (PH) menampilkan 28 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 11 calon diwakili PKR, sembilan dari AMANAH dan lapan calon diwakili DAP.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR berkata, kesemua calon terbabit bertanding atas tiket PH.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman dan penyerahan watikah calon PKR bagi PRN Melaka sebentar tadi yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Anwar juga memaklumkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada Umno akan bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka, 20 November ini.

Jelasnya, bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, masing-masing menyertai PKR dan AMANAH.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman akan mempertahankan DUN Pantai Kundor.

Untuk rekod kedua-dua mereka pada bulan lalu menarik sokongan kepada kerajaan Melaka diterajui Umno sehingga PRN perlu diadakan.

Ditanya mengenai perincian latar belakang calon, Anwar berkata, PH menampilkan lebih ramai muka baharu dengan calon paling muda berusia 21 tahun.

“Calon-calon ramai yang baharu. Kebanyakan kali pertama (bertanding).

“Umur relatif lebih muda dari 21 hingga 40 tahun. Ada yang senior supaya melengkapkan…,” katanya.

Tambahnya, PH juga menampilkan empat calon wanita dengan jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN Melaka diketuai Pengerusi AMANAH negeri, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri.

“Adly kena jaga semua kawasan, beliau mengetuai (jentera pilihan raya PH),” kata Anwar lagi.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala PH menguasai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (AMANAH).

Berikut calon PH dari AMANAH:

LANJUT MENYUSUL